Fokus perkasa capaian internet luar bandar

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pimpinan negara digesa lebih fokus dalam memperkasakan capaian internet, khususnya kepada rakyat di luar bandar, termasuklah di negeri Sabah.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata isu yang ditunjukkan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang juga seorang Youtuber terpaksa memanjat pokok dan bukit semata-mata untuk menjalani peperiksaan dalam talian berikutan kesukaran untuk mendapat capaian internet seharusnya menjadi muhasabah diri kerajaan untuk menolong rakyat.

Beliau turut mengkritik kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pemimpin negara yang seolah-olah membuli anak muda apabila mempertikai tindakan pelajar berkenaan.

“Kenyataan seperti itu menunjukkan ‘cyber bully’ atau membuli di alam maya, tidak hanya berlaku sesama anak muda, malah melibatkan generasi tua termasuk pemimpin negara.

“Seharusnya, Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia mencari jalan untuk memperkasakan capaian internet, khususnya kepada rakyat di luar bandar, termasuklah di negeri Sabah.

“Tiada keperluan untuk mereka menyiasat hingga bertanyakan pihak universiti akan kesahihan tarikh peperiksaan atas talian (Veveonah),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Zahidi Zainul Abidin dikritik banyak pihak apabila mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mempunyai sebarang peperiksaan dan menyifatkan usaha pelajar tersebut hanya sekadar membuat kandungan tular terbabit untuk hiburan dan menempah nama.

Mengulas lanjut, Shahir menggesa kerajaan, terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memberikan fokus kepada penyediaan capaian internet luar bandar supaya tiada lagi pelajar terpaksa panjat pokok atau bukit untuk mendapatkan capaian internet lebih baik.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk menyemak kembali cadangan mengenakan caj perkhidmatan 0.02 peratus atau 20 sen sebagai caj pembelian online.

Katanya, walaupun sekadar 20 sen untuk setiap transaksi, namun rakyat yang menggunakan perkhidmatan atas talian yang sudah pun dikenakan cukai perkhidmatan.

“Jangan bebani rakyat dengan perkara-perkara tidak masuk akal seperti ini,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 9/9/2020

- Advertisement -