Ladang komuniti bantu tingkat pendapatan B40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ladang komuniti yang bakal diwujudkan akan memberikan keuntungan kepada pelbagai pihak terutamanya golongan B40 manakala tanah-tanah terbiar meskipun dalam saiz kecil, dapat dioptimumkan serta diberi nilai tambah apabila terhasilnya ladang komuniti.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jaminan belian balik juga dapat membantu dan meningkatkan pendapatan golongan B40 secara konsisten.

- Advertisement -

Beliau berkata, Malaysia sebelum ini telah mengeksport sebanyak RM22.5 bilion produk berasaskan kayu pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, produk perabot adalah produk tertinggi yang bernilai RM9.14 bilion, diikuti produk papan lapis sebanyak RM3.40 bilion dan kayu gergaji iaitu RM3.37 bilion.

“Kita juga berharap nilai eksport pada tahun ini akan meningkat sekurang-kurangnya sama seperti tahun lalu atau lebih lagi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Perladangan Komuniti Negeri di Batu Kikir, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sejak 2016, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA) dan Plus Intervest telah menjalankan pelbagai kajian untuk menentukan spesis hutan yang boleh diladangkan dan dituai dalam tempoh kurang enam tahun.

FRIM turut berperanan mempromosi dan menyokong program perladangan komuniti MPMA dengan membekalkan kepakaran serta bantuan teknikal dalam menghasilkan anak-anak pokok melalui kaedah kultur tisu.

Mohd Khairuddin berkata, pokok Eucalyptus menghasilkan kayu yang berat, kuat dan tahan lasak sekali gus menjadikannya sebagai sumber kayu paling bernilai di dunia serta membekalkan bahan mentah berkualiti tinggi untuk pulpa, kertas dan tenaga.

Katanya, perladangan Eucalyptus dijangka dapat memenuhi permintaan bahan mentah balak pada masa hadapan.

Beliau berkata, program berkenaan ia bertujuan memperbanyakkan lagi bekalan kayu spesis hutan yang kian menyusut menerusi konsep perladangan selain membantu meningkatkan pendapatan golongan B40.

“Program yang diadakan hari ini bertujuan memberi pengenalan berkaitan spesis-spesis pokok yang mengalami pertumbuhan cepat seperti Batai dan Eucalyptus.

“Program ini dilaksanakan bagi memastikan kelestarian bahan mentah kayu terus mampan serta mengurangkan kebergantungan sumber daripada hutan asli,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -