MAHA 2020 secara hibrid dari 26 hingga 29 Nov

SERDANG: Mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara, buat julung kalinya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2020, akan dilaksanakan secara konsep hibrid selama empat hari bermula 26 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata konsep hibrid yang diketengahkan menggabungkan pameran secara fizikal yang melibatkan lebih 700 gerai serta pameran maya secara dalam talian.

Beliau berkata pameran maya MAHA 2020 adalah platform yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam industri pertanian dan makanan secara dalam talian.

Advertisement

“Sama seperti apa yang ditawarkan oleh pameran fizikal, platform MAHA 2020 versi maya ini juga mampu untuk mengendalikan transaksi perniagaan sama ada bagi pasaran domestik mahupun luar negara,” katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran MAHA 2020, di sini semalam.

Beliau berkata pelbagai aktiviti dalam talian akan diadakan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, sidang video serta promosi produk pameran yang boleh dipaparkan secara langsung.
 
Berikutan wabak COVID-19 dan setiap aktiviti terhad kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara, Kiandee berkata bilangan pengunjung fizikal akan dihadkan kepada 10,000 orang sehari dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.

“Bagi mereka yang ingin hadir pameran fizikal, dinasihatkan agar mendaftar terlebih dahulu di laman web yang akan dilancarkan hujung bulan hadapan namun sekiranya ingin walk-in, ia bergantung kepada kapasiti pada hari tersebut,” katanya.

Bagi penyertaan secara maya pula, beliau berkata dianggarkan seramai 100,000 pengunjung akan menyertai pameran maya MAHA 2020 dalam tempoh empat hari tersebut.

“Walaupun kita menjangkakan keterlibatan pengunjung akan berkurang disebabkan SOP ini tetapi dari segi kualiti dan produk-produk pameran akan terus diangkat kepada produk terkini dalam industri pertanian dan agromakanan.

“Kita jangkakan daripada jualan-jualan reruai (booth), tapak-tapak pameran dan akses kepada Internet, MAHA kali ni akan menyasarkan pulangan nilai jualan RM300 juta termasuk padanan perniagaan,” katanya.

Kiandee berkata MAHA 2020 menyasarkan penyertaan kumpulan peserta seperti syarikat swasta, badan korporat tempatan, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa dan tempatan serta institusi kewangan. – BERNAMA