Elektrik Kg. Orang Asli Sg. Teras sejak April 2018

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Kampung Orang Asli Sungai Teras, Slim River dekat sini bagi membekalkan elektrik kepada 25 kediaman dan sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) KEMAS telah bermula sejak April 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun menjelaskan kerja-kerja pencawang elektrik pula bermula pada 31 Julai 2019 sebelum  pemasangan meter dilakukan pada Sabtu lepas.

“Tidak wujud istilah gula-gula pilihan raya bagi penyelesaian dan pelaksanaan projek ini kerana usaha untuk membangunkan Kampung Orang Asli Sungai Teras ini telah diusahakan beberapa tahun,” katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.

- Advertisement -

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita berhubung penduduk kampung berkenaan yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak 60 tahun tahun lalu, akhirnya menerima kemudahan berkenaan ekoran PRK DUN Slim pada Sabtu ini.

Mohd Zolkafly berkata kelewatan pembangunan infrastruktur bekalan elektrik di kampung berkenaan  berpunca daripada kedudukannya yang berada di luar lingkungan jajaran talian bekalan elektrik.

Bagaimanapun katanya, jalan raya baharu menghubungkan kawasan Kuala Slim ke Besout telah dibina pada 2016, menjadikan kedudukan kampung itu berada bersebelahan jalan raya utama yang membolehkan infrastruktur bekalan elektrik dibangunkan.

Projek BELB itu merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersama Kerajaan Negeri Perak dan Tenaga Nasional Berhad untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah yang berada di luar bandar. – BERNAMA

- Advertisement -