Hayati erti kemerdekaan, ayuh daftar undi

- Advertisement -

MESYUARAT Bulanan Jawatankuasa Kerja PAS kawasan Kluang yang telah diadakan pada malam tadi di Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ) Taman Ilham, Kluang telah membuat dua keputusan untuk dihebahkan kepada umum. 

- Advertisement -

Pertama, menggesa rakyat Malaysia khususnya penduduk di Kluang supaya menghayati erti sebenar kemerdekaan. Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini telah ditetapkan temanya iaitu “Malaysia Prihatin”. Ia menggambarkan betapa aspirasi yang didukung oleh kerajaan agar seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan bersama-sama memerangi musuh pada ketika ini iaitu wabak COVID-19. 

Kesepaduan rakyat untuk bersama-sama berjuang menangani virus ini dengan menghulurkan bantuan dan sokongan dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Ini adalah satu petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah dan juga di waktu senang.

Inilah peranan kita untuk mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang sifatnya masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama. Bertepatan dengan  Firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(al-Hujurat: 13)

Kedua, PAS kawasan Kluang memandang serius berkaitan dengan kesedaran masyarakat untuk mendaftarkan diri sebagai Pengundi khususnya di kalangan anak muda daripada masyarakat Melayu. Walaupun pada tahun lalu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah diluluskan namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan masa, sekurang-kurangnya setahun setengah untuk melaksanakan keputusan pindaan ini. 

Pindaan ini merangkumi penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik telah menyebabkan di kalangan anak muda tidak serius untuk mendaftarkan diri sebagai Pengundi kerana mahu menunggu pendaftaran secara automatik dilaksanakan. Sedangkan, SPR telah mendedahkan pada tahun lalu bahawa terdapat 4 juta rakyat di negara ini yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

PAS Kawasan Kluang telah membuat keputusan untuk menyemarakkan kempen daftar mengundi dan akan menjadikan bulan September yang akan datang sebagai Kempen Jom Daftar Undi di Kluang dan berharap agar tindakan ini akan membangkitkan kesedaran rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Yang Di Pertua PAS kawasan Kluang
5 Muharram 1442 / 26 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -