Kedah peruntuk RM2.9 juta bantuan COVID-19

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta sebagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat di negeri itu yang terjejas oleh penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata bantuan itu diagihkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sebelum ini.

“Sebanyak 9,678 penduduk di negeri ini menerima bantuan secara one-off sebanyak RM300 (menerusi peruntukan itu),” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Advertisement

Beliau menjawab soalan Datuk Phahrolrazi Zawawi (PH-Alor Mengkudu) yang ingin tahu mengenai bantuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi memberitahu inisiatif lain ialah bantuan Sentuhan Kasih di kawasan yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPDB).

“Peruntukan sebanyak RM49,980 disalurkan melalui bantuan tersebut kepada penduduk yang terjejas oleh kluster Sivagangga,” katanya. – BERNAMA