Serangan DAP kepada Dr Khairuddin gagal!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cubaan pemimpin DAP menuduh dan mengheret kekeliruan serta kecaman dengan penyataan secara terpesong ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akhirnya menemui titik.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim memainkan peranan memulakan ‘kejutan’ kekecohan ini dengan membuat dakwaan tersebut yang dibentangkannya dengan fakta-fakta berkaitan semasa Sidang Dewan Rakyat, di sini kelmarin dahulu.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu telah menyemarakkan kegawatan berkaitan penularan COVID-19 apabila mendakwa Khairuddin melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk dikuarantin wajib selepas pulang daripada Turki 7 Julai lalu.

Sebaliknya Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dakwa Teresa, telah hadir ke Sidang Dewan Rakyat bermula 13 Julai lagi selain turut menyenaraikan 12 majlis umum telah dihadiri Menteri itu antara 10 hingga 19 Julai yang disifatnya melanggar perintah berkaitan.

Seorang lagi pemimpin DAP iaitu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng juga cuba memanaskan lagi kesangsian awam dengan pertikaian seolah-olah pemimpin PAS itu telah mendapat keistimewaan yang diberi liputan eksklusif oleh media propembangkang iaitu MalaysiaKini.

Malah, Khairuddin juga cuba dibandingkan dengan dua kes pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melibatkan seorang wanita di Ipoh dan seorang pemilik restoren di Alor Setar yang dihukum denda serta penjara.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Seputeh, Diccam Lourdes Lourdhusamy pula mengetuai satu laporan polis di Balai Polis Brickfields kelmarin dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah susulan tiada tindakan dikenakan terhadap Menteri itu.

“Jika rakyat biasa yang pergi ke Turki dan pulang mereka perlu melalui kuarantin 14 hari. Mengapa Menteri ini tidak dikuarantinkan? Mereka ini Superman (adiwira) kah? Bila jadi Menteri atau Ahli Parlimen ada perisaikah,” persoalnya.

Lebih memperlihatkan keghairahan ialah media rasmi PAN iaitu MalaysiaDateline yang membayangkan Khairuddin bakal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika dihukum sekurang-kurangnya dengan kesalahan denda RM2,000.

Malah penulis, Yuslaini Azmi menggesa pemimpin PAS berhenti mengeluarkan dalil palsu bagi menipu rakyat dan menyatakan hal tersebut sudah terang lagi bersuluh serta mahu tindakan undang-undang yang sama diambil.

Tujuan mereka disangka mungkin mencapai matlamatnya apabila mengheret banyak individu dikenali ramai yang diketahui umum cenderung kepada Pakatan Harapan untuk menangguk di air keruh turut sama membuat kecaman dan ‘penghakiman’.

Namun, Dr Khairuddin bertindak matang tanpa membalas tuduhan serta serangan kecaman tersebut apabila memaklumkan beliau telah menjalani ‘swab test’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan didapati negatif.

Tiga ujian sama dilakukan padanya sejak itu juga memberi keputusan negatif dan dengan sikap profesionalnya beliau telah menyerahkan isu tersebut untuk disiasat dan penjelasan rasmi diberi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagaimanapun hiruk-pikuk dan momokan sentimen negatif cuba diraih keuntungannya oleh DAP itu diberi tamparan oleh netizen yang memperincikan perintah kuarantin wajib dimaksudkan hanya berkuatkuasa bermula pada 24 Julai seperti diumumkan kerajaan.

Sekali lagi dalam isu ini DAP dilihat cuba meletuskan propaganda berunsur fitnah dan membangkitkan rasa kurang senang serta kekhuatiran awam secara salah dan bermotif politik yang akhirnya gagal serta memakan diri.

Sebaliknya ramai netizen menggesa supaya para pemimpin DAP terbabit dihadapkan kepada laporan polis berikutan membuat dakwaan secara keliru yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam mengenainya. – HARAKAHDAILY 21/8/2020

- Advertisement -