Jangan sampai rakyat takut beri maklumat, berkonflik

Rakyat beri maklumat mengharap keadaan jadi lebih baik, bukan semakin buruk

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai mewakili tindakan pihak kerajaan harus mempunyai keseimbangan dan timbang rasa dengan maklumat yang diadukan pelapor.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, imej pihak kerajaan tidak sepatutnya dilihat sebagai ‘membalas dendam’ kepada rakyat apabila melaksanakan sesuatu penguatkuasaan.

Terangnya, setiap maklumat diberi atau pendedahan masalah lebih-lebih lagi jenayah, perlu dialu-alukan serta diambil tindakan dan mempermudahkan di pihak rakyat, bukannya menimbulkan kebimbangan.

Beliau mengulas tindak balas drastik dilakukan Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berikutan satu pendedahan mengenai kegiatan jenayah terselindung dan perniagaan di sekitar bandaraya itu baru-baru ini.

“Sehingga menjadi rungutan rakyat yang berkata seperti seolah-olah pihak MBSA membalas dendam. Itu adalah sesuatu yang tidak baik sebenarnya dari segi hubungan antara rakyat dengan kerajaan.

“Perdana Menteri pun dalam mesejnya suruh minta supaya PBT lebih prihatin mengambil pendekatan yang memudahkan rakyat. Kalau ada kesilapan dari segi lesen misalnya, facilitate caranya supaya mereka ini dapat diberi lesen.

“Kalau ada kesilapan dari segi gangguan, mungkin jalan ke apa ke, cari jalan supaya benda yang bersifat gangguan itu diperbetulkan, itu saja,” ujarnya mengharap situasi yang berlaku diperbetulkan secara baik.

Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berharap supaya tindakan penguatkuasaan dibuat tidak memberi mesej sebagai menakutkan pemberi maklumat untuk tampil membuat laporan.

Kerana jelasnya, pihak yang tampil memberi maklumat membawa hasrat untuk pihak berkuasa membela di mana dengan laporan dibuat akan menyebabkan keadaan menjadi lebih baik, bukan sebaliknya.

“Tetapi kalau selepas memberi maklumat, sehingga menyebabkan tindakan yang diambil menjejaskan ramai orang, rakyat akan takut untuk memberi maklumat, dia takut nanti dipersalahkan.

“Nanti dia beri maklumat, nanti semua orang salahkan dia disebabkan oleh tindakan pihak kerajaan, tak boleh juga macam itu,” ujarnya menggesa supaya fokus ditumpukan terhadap menyelesai masalah berbangkit.

Terutama katanya, hal-hal yang merosakkan masyarakat seperti perjudian dan maksiat, bukannya ke atas usaha rakyat untuk mencari nafkah yang sekadar untuk memenuhi keperluan isi perut. – HARAKAHDAILY 15/8/2020