Henti campuri urusan perundangan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan NGO-NGO Islam mengingatkan ahli-ahli politik berhenti mencampuri urusan politik dalam perundangan negara.

- Advertisement -

Ini termasuk amalan pendakwaan terpilih di dalam badan perundangan negara.

Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun berkata, sekiranya sistem perundangan negara dikawal oleh ahli-ahli politik tentu mengundang kepada kehancuran negara.

Malah katanya, sistem perundangan negara merupakan Badan Perundangan dan Sistem Kehakiman Negara yang sepatutnya bebas dari sebarang campur tangan politik (Separation Of Power).

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara bahawa kuasa politik mencampuri urusan mahkamah secara terang-terangan,” ujarnya dalam sidang media khas di Wisma Majlis Perundingan Melayu di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato’ Takiyuddin Hassan pada 10 Julai lalu di Dewan Rakyat berhubung dua pemimpin Pakatan Harapan (PH)dan seorang bekas pemimpin PH dipercayai menyalahgunakan kuasa sewaktu menjadi kerajaan.

Mereka adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dikatakan terlibat dalam campur tangan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.

Shahbudin Embun

Menurut Takiyuddin, terdapat beberapa pucuk surat diminitkan oleh Tun, Guan Eng dan Tommy kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membatalkan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Berhubung perkara itu, Shahbudin dari MPM, UMMAH dan NGO-NGO Islam berhasrat menyerahkan satu memorandum khas kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 19 Ogos depan.

Beliau juga memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan salahguna kuasa yang membabitkan tiga individu bekenaan tanpa rasa gentar dan pilih kasih.

Katanya turut menegaskan sekiranya berlaku salahguna kuasa tindakan pendakwaan hendaklah dilakukan dengan segera.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata tindakan bekas Perdana Menteri PH ketika itu amat jelas.

Mohd Zai Mustafa

“Perdana Menteri pada waktu itu diberi kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia menggunakan kedudukannya untuk mengatasi arahan atau peruntukan undang-undang iaitu mempunyai kepentingan dalam sesuatu perkara,” kata Mohd Zai.

Justeru itu katanya, perkara ini hendaklah disiasat mengikut Sesyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 2009 iaitu kesalahan pegawai atau badan awam atau anggota pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan sesuatu perkara dimana dia atau sekutunya mempunyai kepentingan. 

“Jadi kita akan serahkan kepada SPRM supaya perkara ini disiasat tanpa terpilih dan disiasat dengan telus,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -