Ketepikan perseteruan politik demi rakyat

- Advertisement -

SAYA merakamkan jutaan terima kasih atas kejayaan semua pimpinan parti politik sama ada kerajaan mahupun bukan Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu peniaga kecil anak watan Paya jaras dan Bandar Baru Sungai Buloh.

Saya suka melihat situasi ini, kerana inilah yang rakyat inginkan dari pimpinan-pimpinan masyarakat, di mana lagi tempat rakyat untuk mengadu dan mengharapkan usaha membantu penyelesaian masalah mereka, jika tidak kepada pemimpin. Tahniah saya ucapkan kepada semua pimpinan parti-parti politik. 

Setiap daripada pemimpin itu ada keterbatasan bentuk bantuan dan juga usaha yang boleh diusahakan oleh mereka. Ada yang menjadi ADUN, ada yang menjadi YDP Kawasan, ada yang jadi Ketua Bahagian, ada yang jadi pemimpin NGO dan sebagainya. setiap posisi itu ada tugasan mereka yang hanya mereka sahaja yang mampu untuk lakukan, jadi sudah pasti rakyat akan melihat ada yang lebih dan ada yang kurang. 

- Advertisement -

Ini bukan kerana mereka tidak buat kerja, tetapi kerana keterbatasan dan keupayaan mereka di posisi itu. Justeru, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Selangor dan seluruh anak-anak muda Selangor mengharapkan jika berlaku sesuatu isu berkaitan dengan rakyat, berusahalah wahai pemimpin untuk membantu sekadar termampu mengikut posisi masing-masing.

Jauhilah perseteruan politik yang tidak berkesudahan, sehinggakan rakyat yang nanti akan terabai dan menjadi mangsa. Meletakkan minda penyelesaian lebih diutamakan berbanding memikirkan masalah kedua selepas masalah pertama adalah minda seorang pemimpin yang berjiwa besar. 

Buat rakyat, janganlah kalian berseteru lagi sesama kita untuk mempertahankan siapa dan siapa yang lebih dari kalangan kita dalam menyelesaikan isu rakyat ini. Bersatulah untuk meringankan beban pemimpin dan juga mereka yang diamanahkan untuk memimpin kita. Insya-Allah Allah pasti akan membantu menyelesaikan urusan kita. 

HANAFI ZULKAPLI 
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -