Thailand ambil tindakan perundangan terhadap Facebook

- Advertisement -

BANGKOK: Kementerian Digital Thailand mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Facebook kerana media sosial itu tidak mematuhi permintaan kerajaan supaya menyekat isi kandungan yang salah, lapor VNA.

- Advertisement -

Amaran itu dikeluarkan selepas sistem terjemahan automatik rangkaian sosial itu silap menterjemahkan mesej dalam penstriman langsung sempena ulang tahun kelahiran Raja Maha Vajiralongkorn, yang disiarkan penyiar Thailand minggu lalu.

Facebook sudah mengemukakan permohonan maaf dan menutup sementara sistem terjemahan automatik bahasa Inggeris ke bahasa Thailand.

Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand, Puttipong Punnakanta, berkata Facebook tidak bertindak balas dengan cepat terhadap permintaan kerajaan Thailand untuk menyekat kandungan itu.

Beliau berikrar akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat itu tanpa mengulas lanjut selaras undang-undang Thailand melarang penghinaan terhadap monarki.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa meminta platform media sosial untuk mengehadkan atau memadamkan kandungan mempunyai unsur penghinaan terhadap institusi diraja dan kandungan tidak benar lain termasuk yang mengancam keselamatan negara dan melanggar hak cipta.

Facebook berkata pihaknya bertindak terhadap permintaan Kerajaan Thailand sama seperti pemerintah negara lain. – BERNAMA

- Advertisement -