Qurban Care for Ummah di empat daerah Kedah

- Advertisement -

SIK: Kelab Kebajikan Little Caliphs (KKLC) bersama Yayasan Isra’ Malaysia serta beberapa persatuan dan entiti perniagaan telah berkolaborasi menjayakan program Qurban Care for Ummah di empat daerah di negeri ini.

- Advertisement -

Sebanyak 36 ekor lembu dan 34 ekor kambing korban telah dan akan disembelih sepanjang empat hari perkampungan aktivis dan sukarelawan program tersebut di Daerah Sik, Baling, Pokok Sena dan Padang Terap.

Program telah bermula sejak kelmarin, dengan mengadakan Ziarah Rumah Dhaif Asnaf, diikuti semalam, solat Aidiladha serta sembelihan korban yang dilaksanakan di Masjid Ubudiyyah, Kampung Sungai Pau, di sini.

Program korban perdana yang amat bermakna kepada kehidupan dan ibadah para asnaf ini setelah melalui kepayahan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dirasmikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, pagi tadi.

Beliau sendiri turut menyempurnakan sembelihan dua ekor lembu dan dalam ucapannya menyatakan bahawa Kedah sentiasa membuka pintu menerima semua pihak yang mahu membantu rakyat negeri ini.

Pengarah Program dari KKLC, Abdul Razak Ismail memberitahu, haiwan korban bersama lebih 300 bungkusan berupa keperluan dapur itu asalnya untuk disumbangkan ke Sudan, namun berikutan pandemik COVID-19 terpaksa diadakan dalam negara.

Sementara itu menurut Pengerusi Yayasan Isra’ Malaysia, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, agihan korban dilakukan secara ziarah dari rumah ke rumah berikutan negara masih dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP) ketika ini.

Turut menjayakan program ini adalah Little Caliph International Sdn Bhd, Kelab Patriot Chapter Perlis Universiti Utara Malaysia, Osman Goat Farm, Secret Correa dan Usahawan Cuckoo.

Juga Alumni Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Malaysia (ILKBS) dan Alumni Akademi Binaan Malaysia (ABM) di mana menerusi dua-dua alumni ini telah memberi tumpuan mengadakan baik pulih rumah penduduk daif. – HARAKAHDAILY 1/8/2020

- Advertisement -