Perutusan Aidil Adha MB Kedah

- Advertisement -

ASSALAMUALAIKUM warrohmatullahi Taala Wabarokaatuh

- Advertisement -

Bismillahhirrohmaanirrohiim

ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!

Selamat meraikan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban kepada seluruh umat Islam, terutama di Negeri Kedah Darul Aman.

Aidil Adha tahun ini mungkin terpaksa disambut dalam suasana yang berbeza oleh kita semua.

Ini kerana kita pada masa ini masih lagi perlu mematuhi larangan-larangan tertentu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan suasana sambutan pasti berlainan.

Bagaimanapun, berbanding Aidil Fitri baru lalu yang kita sambut pada fasa awal PKP dalam suasana larangan rentas sempadan, Aidil Adha kita jangka akan dsiambut dengan lebih meriah.

Namun pada masa yang sama, ingin saya mengingatkan bahawa setiap daripada kita masih perlu mengawal diri sendiri, juga anggota keluarga dalam mematuhi setiap peraturan dan langkah kawalan bagi mencegah jangkitan Covid-10.

Kita tersilap apabila sebulan dua yang lalu, kita mungkin menyangka kita sudah menang dalam peperangan menentang Covid-19, menyebabkan ada yang bersikap sambal lewa atau memandang remeh pada arahan untuk mematuhi larangan-larangan PKP.

Rupa-rupanya ini telah meletakkan kita dalam situasi yang berbahaya. Beberapa kes baharu muncul semula, termasuk di Negeri Kedah.

Mengambil iktibar daripada peristiwa Hari Raya Korban, ingin saya mengajak muslimin muslimat semua supaya sedar bahawa berdisiplin dalam mengamalkan normal baharu juga adalah suatu bentuk pengorbanan kita untuk maslahat masyarakat.

Mematuhi larangan PKP dan membiasakan diri dengan kelaziman baharu untuk hidup yang lebih sihat sama ada bagi diri sendiri atau orang lain, juga adalah pengorbanan.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Dalam hal berkorban dan membantu golongan yang memerlukan, Allah S.W.T mengingatkan kita dalam banyak ayat Al Quran.

Keprihatinan, pengorbanan dan menghulurkan pertolongan kepada mereka yang amat memerlukan, adalah jalan-jalan yang terbentang luas untuk kita memasuki syurga Allah.

Apa yang penting adalah hati kita.

Hatilah yang akan menentukan kesanggupan kita untuk berkongsi rasa susah apa yang dilalui oleh saudara-saudara kita, dan hatilah juga yang akan menentukan keikhlasan kita.

Kalau kita boleh menang dengan hati kita sendiri, di akhirat nanti, tuailah ganjaran yang sudah tersedia untuk kita.

Dalam surah Al Baqarah, ayat 215, Allah S.W.T berfirman;

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakalanlah, “apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada, kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan, Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

Amalan berkorban sangat penting dalam memupuk rasa tanggungjawab sesama saudara Islam, memupuk ukhwah atas dasar kasih sayang yang ikhlas antara satu sama lain.

Dalam konteks hidup bermasyarakat, Rasulullah S.A.W ada berpesan bahawa tidak dikira mukmin orang yang kekenyangan sementara jirannya kelaparan.

Dalam kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita, janganlah kita melupakan orang lain yang kurang bernasib baik.

Amalan berkorban juga adalah sebagai kafarah atau penebus dosa bagi kesilapan-kesilapan yang kita lakukan sepanjang tahun, kelalaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah Taala.

Semoga ibadah korban kita dalam menunaikan tanggungjawab Hablumminallah dan Hablumminannas diberkati.

Moga nikmat Kedah Sejahtera akan meliputi setiap lapisan masyarakat dengan kualiti kehidupan yang semakin meningkat pada masa akan datang.

Ameen, Ameen Ya Rabbal Aalamiin

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Wabillahhitaufiqwaalhidaayah.

Wassalamualaikum Warrohmatullahi Taala Wabarokaatuh.

YAB HAJI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 31/7/2020

- Advertisement -