Pulau Pinang rekod kadar kesuburan terendah

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pulau Pinang merekodkan kadar kesuburan paling rendah dengan 1.3 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2018, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

- Advertisement -

Beliau berkata selain Pulau Pinang, tiga lagi negeri yang mencatatkan kadar kesuburan terendah di bawah paras penggantian 2.1 anak, ialah  Sabah (1.4 anak), Kuala Lumpur (1.5 anak) dan Sarawak (1.6 anak).

“Secara puratanya jumlah kelahiran di Pulau Pinang ialah 60,000 kelahiran setahun. Kadar ini menunjukkan satu keseriusan kerana kita berada di bawah paras normal 2.1 anak,” katanya  kepada pemberita selepas majlis pelancaran Banci Penduduk dan Perumahan 2020 peringkat Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di sini semalam.

Menurut Mohd Uzir, isu itu akan membawa situasi yang menyaksikan warga produktif semasa perlu menanggung warga tua untuk jangka masa yang panjang, berikutan kekurangan generasi pelapis untuk berkongsi tanggungjawab tersebut.

Beliau juga berkata secara keseluruhan, kadar kesuburan di Malaysia menurun pada 2018 iaitu daripada 1.9 anak bagi perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2017, kepada 1.8 anak.
 
Beliau berkata penurunan kadar kesuburan itu juga menyumbang kepada kebergantungan negara pada sumber tenaga kerja asing.

“Kelahiran ini bergantung juga kepada perkahwinan. Kalau perkahwinan pada usia lanjut biasanya tahap kesuburan semakin berkurangan.

“Di negeri-negeri maju ini penduduknya lebih fokus kepada karier, pelajaran dan sebagainya… tahap perkahwinan itu semakin lewat. Jadi, kadar kelahiran itu semakin berkurangan. Empat negeri ini antara negeri yang menua,” katanya.

Menurutnya, Kelantan dan Terengganu adalah negeri yang mencatatkan kadar kesuburan tertinggi pada 2018 dengan masing-masing merekodkan 3.0 dan 3.1 anak. – BERNAMA

- Advertisement -