MPP wadah khidmat kepada masyarakat bandar

- Advertisement -

TITIWANGSA: Majlis Penyerahan Surat Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Titiwangsa telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Bena Nusa, Dato’ Seri Johari Abdul Ghani.

- Advertisement -

Masing-masing wakil daripada PAS, Umno dan BERSATU menerima pelantikan mengganggotai MPP Titiwangsa melibatkan zon dan beberapa sub-zon pada majlis di Dewan Komuniti Desa Pandan, di sini semalam.

Pengerusi MPP Titiwangsa, Dato’ Azizul Abd Rahman dalam ucapannya menerangkan latar belakang jawatankuasa tersebut melibatkan polisi, fungsi dan peranan serta program boleh diusahajayakan.

Perkara terpenting tegas beliau, adalah untuk membantu penduduk dan kerajaan, sekali gus Ahli MPP perlu menjuarai isu dengan menjadi mata dan telinga kerajaan agar mampu membawa penyelesaian masalah rakyat.

“Kebelakangan ini banyak isu setempat yang menuntut kepedulian kita seperti isu penjaja di Pasar Kampung Pandan, isu tiang elektrik di Kampung Baru dan banyak lagi.

“Marilah kita sama-sama perkasakan MPP Titiwangsa merentasi sempadan politik, bangsa dan agama demi memberi khidmat kepada rakyat,” ujar Dato’ Azizul.

Dato’ Johari dalam ucapannya pula menegaskan peri pentingnya peranan MPP dalam masyarakat bandar serta menggalakkan agar hubungan baik dijalin bersama NGO-NGO setempat selain berusaha membangunkan masyarakat.

Pada penyerahan surat watikah itu menyaksikan 21 wakil daripada PAS dilantik menganggotai majlis tersebut. – HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -