Pengerusi Dar Al-Abrar jual durian kumpul dana

- Advertisement -

MUSIM durian tahun ini memberi peluang dan rezeki kepada ramai peraih dan pemilik dusun durian kerana raja buah ini adalah buah ‘kegemaran’ ramai.

Tidak dinafikan durian tidak menjadi kesukaan sesetengah orang, namun keenakan dan keunikan rasanya menjadi kegilaan ramai terutamanya durian Musang King.

- Advertisement -

Disebabkan itulah, Pengerusi Rangkaian Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al Abrar, Ustaz Roslan Md Esa mengambil peluang memanfaatkan ruang dan kawasan tanah di sekeliling Tahfiz Al-Quran Dar Al Abrar, Bentong dengan menjual hasil durian untuk menjana pendapatan sekolah tahfiz itu.

Kisah beliau menjual durian bersama adiknya, Ustaz Shahrizan Md Esa atau lebih dikenali dengan nama Abu Wahbah viral di Facebook dan tidak kurang ramai pemimpin kerajaan dan exco kerajaan singgah ke Dar Al Abrar untuk merasai nikmat raja buah khasnya Musang King.

Aktiviti tersebut dijadikan sebagai inisiatif untuk menjana pendapatan Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al Abrar itu sejak beberapa tahun lalu untuk menampung kos operasi dan utiliti yang diperlukan walaupun pelajar Tahfiz kini sedang bercuti.

Pengerusi Rangkaian Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al Abrar, Ustaz Roslan Md Esa

Selain daripada menjual hasil durian yang hanya bermusim, beliau turut mengambil inisiatif menjual produk yang dihasilkan oleh pihaknya sendiri iaitu daging kambing perap ‘Tok One’ dengan sos lada hitam.

Di samping itu, pihaknya juga menjual tempoyak yang dihasilkan oleh pihaknya sendiri.

Musim wabak Covid-19 adalah masa yang sangat mencabar bagi orang ramai. Maahad ini juga tidak lari daripada terkesan sama apabila kelas tidak boleh beroperasi tambahan pula pihaknya perlu meneruskan pembinaan bangunan yang sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Maahad ini telah beroperasi sejak tahun 2010 dan masih dalam proses menaik taraf beberapa kemudahan dan bangunan.

Anggaran sebanyak RM350,000 kos yang diperlukan untuk menyelesaikan dewan kuliah pengajian pelajar kemudian menaik taraf asrama dan juga kelas.

Dewan yang dibina akan menjadi tempat pendidikan multi pembelajaran dan pengajian hafazan al-Quran untuk sekolah rendah sekolah menengah dan warga emas.

Dengan harapan siapnya dewan ini, Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al Abrar tiada lagi masalah dari sudut untuk menampung 160 orang pelajar dengan mengambil kira ruang yang diperlukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baru di pasca Covid-19 ini.

Allah SWT berfirman di dalam surah Saba’, ayat 34 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki dan menyekatnya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya; dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi Rezeki yang terbaik.”

Bagi yang mahu menyumbang boleh disalurkan ke akaun Maybank 5561 3205 1240, Maahad Tahfiz al-Quran Dar al-Abrar.- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -