Tukar Speaker tidak wajar dipolitikkan – Amzad

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Usul Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menukar Yang Di-Pertua (Speaker) Dewan Rakyat, tidak wajar dipolitikkan kerana itu perkara biasa dalam negara demokrasi.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, usul kerajaan bagi menukar Speaker Dewan Rakyat itu perkara biasa dan diamalkan oleh setiap kerajaan.

Katanya, dalam negara yang mengamalkan demokrasi berhak memilih Speaker Dewan itu dari kalangan Ahli-ahli Parlimen kerajaan atau orang politik.

“Pertukaran Yang Di-Pertua (Speaker) Parlimen ini akan diusulkan oleh pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti mana kebiasaan diamalkan.

“Ini mana-mana (kerajaan) pun dan apabila kerajaan bertukar sudah tentulah kita memerlukan seorang Speaker yang boleh memainkan peranan dalam keadaan kerajaan sendiri merasa selesa.

“Dalam masa yang sama sudah tentunya, Speaker itu sendiri akan tertakluk kepada etika untuk berlaku adil dan sebagainya.

“Nama yang kita (kerajaan) cadang pun masih tertakluk kepada etika kena berlaku adil. Cumanya, Speaker yang dahulu dicadangkan oleh kerajaan (Pakatan Harapan) yang terdahulu.

“Speaker yang bakal dilantik ini sudah tentu dicadangkan oleh kerajaan sekarang (PN). Ini tidak ada masalah dan usul telah dikemukakan dan kita tidak menjangkakan akan berlaku masalah besar untuk penukaran Speaker,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli parlimen Kuala Terengganu berkata demikian selepas Lawatan Rasmi ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Ikhlas, Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama dalam lawatan itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Syed Ali Mahyuddin Syed Alwi, Pengarah UPDI, Ustaz Mohd Soud Said, Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ustaz Asyraf Ali dan Pengurus Pasti Al-Ikhlas, Zulkifli Abdul Ghani.

Namun, kata Amzad, biasalah polemik ‘panas’ itu berlaku di media sosial kerana ada pihak yang baharu kehilangan kuasa dan kerajaan beberapa bulan lalu.

Pada Ahad lalu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof daripada Parti Amanah Negara (PAN) telah mengesahkan, menerima usul bagi menamatkan khidmat beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat kali ini.- HARAKAHDAILY 7/7/2020

- Advertisement -