Hina Jata Negara: Cambah budaya kurang ajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbuatan mengubah suai Jata Negara pada kulit buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ adalah satu penghinaan kepada kedaulatan negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, perbuatan tersebut bagaikan kesinambungan perbuatan menghina lambang kebesaran negara yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. 

Katanya, ia merupakan hasil dituai dari budaya kurang ajar disemai oleh golongan ekstremis reformasi yang kononnya ingin menghapuskan kleptokrasi pada masa sama lancang mengecam sejarah Malaysia dan seterusnya mengubahsuai lambang kebanggaan negara. 

“Tahun lepas, bendera Malaysia pernah dipasang terbalik di premis swasta ketika hari merdeka. Adalah diharapkan kerajaan yang ada sekarang tidak berdiam diri. 

“Sikap berdiam diri akan mengundang lebih banyak kejadian yang serupa akan berlaku,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, sikap kurang ajar dan berlebih-lebihan dalam memprotes apa jua yang berlaku dalam negara boleh menyebabkan rakyat terutamanya golongan muda tidak tahu adab dan kesopanan yang selama ini menjadi darah daging rakyat Malaysia yang menghormati Rukun Negara.

Jelasnya lagi, cukuplah sikap kurang ajar yang ditunjukkan oleh mahasiswa yang meluahkan rasa tidak puas hati kepada Timbalan Canselor sewaktu naik ke pentas ketika mengambil skrol satu ketika dulu. 

Sedemikian itu katanya, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyarankan kerajaan mengambil langkah untuk mengharamkan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong yang menggunakan gambar jata negara diubahsuai itu.

Dalam masa sama harapnya, pihak berkuasa mesti mengenakan tindakan sesuai kepada penulis dan pihak lain yang terlibat.

Baru-baru ini, tersebarnya lukisan mirip Jata Negara yang meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap perkara itu setelah menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak dan akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan. – HARAKAHDAILY 30/6/2020

- Advertisement -