COVID-19: Sekolah digalak lakukan nyah cemar

- Advertisement -

LENGGONG: Pihak sekolah digalakkan supaya melakukan operasi nyah cemar sebagai suatu kesedaran bagi membendung penularan wabak COVID-19, walaupun tidak ada arahan khusus mengenainya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata, dalam masa sama operasi dilakukan pihak sekolah mestilah berpandukan tunjuk ajar Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, Rabu ini 250 sekolah di seluruh Perak yang membabitkan seramai 34,150 pelajar tingkatan lima, enam dan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan memulakan sesi pengajian.

Bermula 1 Julai depan pula maklumnya, lebih 1,000 sekolah menengah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) di seluruh negeri juga akan memulakan sesi pengajian.

“Jadi kalau sanitasi atau operasi nyah cemar hendak dilakukan di semua sekolah yang jumlahnya banyak itu oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), tidak boleh dilakukan sekali gus.

“Sehubungan kita galakkan supaya operasi nyah kuman itu dilakukan oleh pihak sekolah masing-masing dan hari ini simulasi atau tunjuk ajarnya telah dibuat oleh Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Pelancaran Sanitasi Sekolah Peringkat Negeri Perak petang kelmarin.

Majlis pelancaran diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad itu turut dihadiri EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Saarani Mohamad dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Aznan Alias.

Juga Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Negeri, PgKB Muhamad Shahrizal Aris serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Perak, Mohamad Zaidi Saleh dan Ketua BBP Lenggong, Farizul Anuar Razali.

Razman menjelaskan, kerja-kerja untuk melakukan sanitasi tidak begitu sukar kerana alatan serta bahan yang diperlukan antaranya alat spray, Dettol dan peluntur.

Terangnya, nisbah campuran ialah 1:10 sekiranya guna cecair peluntur, manakala Dettol dengan 1:30 dan tempat-tempat yang hendak dinyahcemar ialah yang sering disentuh dengan tangan.

Mengenai kekerapan pula katanya, kalau bank umpamanya dilakukan kerja-kerja nyah cemar dalam tempoh dua jam sekali, tapi sekolah operasinya sebelum buka sekolah dan selepas pelajar balik. – HARAKAHDAILY 22/6/2020

- Advertisement -