Pembangunan industri gaharu bantu usahawan tempatan

JELI: Penjualan hasil gaharu masih banyak bergantung kepada pokok karas hutan dan tertakluk dengan kuota yang ditetapkan setiap tahun berdasarkan garis panduan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Fauna atau Flora (CITES).

Advertisement

Sepanjang tahun 2018 dan 2019, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB telah menetapkan kuota eksport produk karas/gaharu adalah sebanyak 150,000 kilogram (kg).

Demikian kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali dalam sidang media ketika sesi lawatan kerjanya di sini.

Katanya, nilai eksport produk karas-gaharu negara pada tahun 2019 berjumlah RM8.8 juta melibatkan produk seperti kayu serpai dan blok gaharu (RM7.4 juta), pati minyak gaharu (RM0.96 juta) dan kepingan gaharu (RM0.44 juta).

Tambah beliau, sebanyak 3,742.40 kg PMG telah dieskport pada tahun yang sama.

“Bagi meningkatkan pengeluaran dan jualan hasil karas, penekanan perlu diberi kepada pengeluaran ladang yang memerlukan proses inokulasi yang tepat supaya dapat menghasilkan gaharu.

“Pokok karas yang berjumlah lebih 2.3 juta di ladang negara ini, perlu dipastikan mampu menghasilkan gaharu dan penanam tidak terbeban untuk menggunakan kaedah inokulasi yang tepat.

“Kementerian melalui MTIB akan terus menyokong dan membangunkan industri karas/gaharu agar ia terus berkembang melalui kerjasama persatuan, pemain industri dan agensi kerajaan yang lain,” ujarnya.

Dr Khairuddin menyatakan, MTIB juga telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan insentif usahawan dan pekebun kecil gaharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menyokong industri itu.- HARAKAHDAILY 21/6/2020