Bagaimana Imam Syafie hadap masalah khilafiah?

SEPERTI yang kita maklum perbezaan pendapat di kalangan ulamak bermula sejak dari zaman Nabi S.A.W lagi. Ada perbezaan pendapat yang diakui oleh Nabi S.A.W seperti kisah operasi Bani Quraizah dan ada pandangan yang ditolak oleh Nabi S.A.W seperti fatwa mandi wajib bagi orang cedera di kepala.

Perbezaan pendapat semakin meluas selepas kawafatan Nabi S.A.W tetapi ianya terkawal di zaman 2 Khulafa’ Rasyidin yang pertama sehinggalah muncul kumpulan bughah dan Khawarij yang menentang dengan kekerasan terhadap Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali.

Sehinggalah tiba di zaman Tabi’-tabi’in perbezaan pendapat terus berlaku. Mujaddid abad itu iaitu Imam Asy-Syafie mengambil peranan paling utama di zaman itu bagi mengatur dan mensistemkan perbezaan pendapat dengan cara meletakkan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum dan fatwa supaya perbezaan pendapat dapat dikurangkan dan supaya ianya berlegar di sekitar perkara-perkara yang dibenarkan sahaja berbeza pendapat dengan adab-adab dan kaedah-kaedah yang sah di sisi syarak.

Advertisement

Dengan itu terhasillah kitab Ar Risalah dalam ilmu Usul Fiqh bagi menunjuk jalan bagaimana hukum dibina dengan cara yang betul. Imam Asy-Syafie telah berjaya merapatkan jurang antara ahli Hadis dan ahli Rakyi yang kuat berselisih pada ketika dengan meletakkan ma’ayir atau neraca timbangan bagi mengeluarkan hukum dan tidak boleh mengeluarkan hukum secara rambang dan rasa-rasa sahaja.

Lebih dari itu Imam Asy-Syafie juga menunjukkan bagaimana akhlak dan adab dalam berbeza pendapat. Antaranya:

(1) Meraikan mazhab setempat.
(2) Tetap bersaudara walaupun berbeza pendapat.
(3) Tidak mengecam kerana berbeza pendapat.
(4) Memuji dan mengiktiraf sumbangan ulamak-ulamak mazhab lain walau berbeza pandangan.

Malangnya hari ini ramai yang berbeza pendapat tidak kembali kepada ma’ayir neraca timbangan (mengeluarkan pendapat walaupun tiada asas ilmu seperti Usul Fiqh) dalam mengeluarkan pendapat dan tiada akhlak dan adab dalam membincangkan masalah khilafiah atau bukan khilafiah.

Lebih malang lagi lebih ramai yang suka mencurah api ke dalam masalah khilafiah dan bukan khilafiah berbanding menjadi penyelesai masalah seperti Imam Syafie. Allahul musta’an.

MOHD MAHYUDDIN MOHD YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.