Tragedi di Aidil Fitri, rumah musnah dijilat api

- Advertisement -

PARIT BUNTAR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikuatkuasakan ketika ini tidak menghalang Aidil Fitri disambut meriah, namun ada juga yang mengalami nasib sebaliknya.

- Advertisement -

Sebuah keluarga mengalami detik tragedi apabila kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran yang hanya dapat dipadamkan selepas dua jam berlaku di Sungai Labu Bawah, Tanjung Piandang, di sini jam 4 pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setelah tindakan pantas bapa saudara berjaya menyelamatkan tiga beradik yang terperangkap di dalam api marak ketika itu.

Yang DiPertua PAS Kawasan Parit Buntar, Bahrain Desa bersama Ketua PAS Cawangan Sungai Labu Bawah, Mohd Fouzi Abu Hassan dan pimpinan lain hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Beliau turut mengajak penduduk setempat untuk sama-sama membantu dan membela nasib keluarga tersebut yang kini menumpang teduh di rumah sewa dibiayai pihak Baitulmal.

Menurut bapa saudara, Osman Awee, 44 yang menjadi penjaga tiga beradik tersebut, beliau segera bangun setelah mendengar jeritan salah seorangnya, Nur Amira Najwa Abd Jalil, 15 dalam ketakutan meminta tolong dari salah sebuah bilik di tingkat atas rumah.

Beliau ketika bercerita detik cemas kepada rombongan ziarah melahirkan rasa syukur kerana turut berjaya membawa keluar dua lagi anak saudaranya, Muhammad Danish Iskandar, 17 dan Muhammad Syafiq, 16 melalui pintu belakang rumah walaupun hanya sehelai sepinggang. 

Sementara itu, PAS Parit Buntar sedia membantu keluarga tersebut dari semasa ke semasa khususnya sepanjang tempoh PKPB ini bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung ketika ini.

Sebarang sumbangan atau bantuan orang ramai bolehlah disalurkan terus melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional, 0823529000071591 atas nama Osman Awee atau boleh hubungi di talian 014-2574277. – HARAKAHDAILY 26/5/2020

- Advertisement -