Dari Baghdad ke Taiping

- Advertisement -

PADA awal 2002, saya, Arwah Kuis dan Haji Mohd Faiz Mohd Nawi bersembang-sembang mengenai isu-isu kebajikan staf Pejabat Agung PAS dan juga petugas-petugas PAS sepenuh masa di seluruh negara. Yang kami fikirkan ialah kebajikan mereka jika berlaku musibah, selain ingatan-ingatan bagi menghargai mereka bila berkahwin, mendapat anak atau hari lahir. Maklumlah, seluruh masa mereka diberikan untuk perjuangan, walaupun mempunyai kelulusan, tetapi imbuhan secukup makan sahaja. Idea Arwah Kuis ialah ditubuhkan kelab kebajikan kakitangan, bukan kesatuan sekerja.

Sebenarnya, menjelang Pilihan Raya Umum 1999, pegawai Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Raja Azlan Shah yang kami santun dia dengan panggilan ‘Kuaz’ telah meninggal dunia secara mengejut. Beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga. Arwah Kuaz adalah saudara pupu dengan Arwah Kuis. Kedua-duanya kerabat diraja Perak, berpangkat sepupu dengan al-Marhum Sultan Idris Perak dan juga sepupu dengan al-Marhum Sultan Ahmad Shah, ayahanda Yang Di-Pertua Agong sekarang, al-Sultan Abdullah. Kematian mengejut Arwah Kuaz seperti tiada pembelaan yang wajar, terutama kepada balunya. Arwah Kuis dan saya juga baru mendirikan rumah tangga berselang hari dengan Peristiwa 11 September yang meruntuhkan World Trade Center di New York itu. E aka Ibnu Mustafa dan isterinya, Nor Raihan Abdullah bertamu ke majlis saya ketika itu.

Idea Arwah Kuis itulah yang membawa kepada tertubuhnya Badan Kebajikan Kakitangan PAS (BAKIP), yang asalnya dipimpin oleh Arwah Kuis. Bila Arwah Kuis ke Manchester untuk menyiapkan doktoratnya, saya mengambil alih tugas itu. Ketika idea asal ini kami bincang, kami bawa idea ini kepada Ustaz Hassan, yang menjadi ‘ayah’ kami di Markaz Taman Melewar itu. Cadangan kami dipersetujui oleh Ustaz, dan beliau mencadangkan supaya dibuat kertas untuk diangkat kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Ustaz berjanji akan menyokongnya dalam Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

- Advertisement -

Ketika Ustaz menyokong cadangan kami, beliau bercerita, “Ana dulu, sehabis sahaja belajar di Baghdad terus berkerja dengan PAS macam kamu lah. Kami tamat pada pertengahan ’68. Lepas dah ambil ijazah, dalam tengah bulan Ogos terus terbang ke Malaysia. Suasana politik tengah panas, sebab orang Cina bergaduh di Pangkor. Di Pulau Pinang, depa buat Hartal sebab duit Malaysia jatuh. Di Kedah pula, ramai Pemuda PAS kena tahan selepas Hartal ini, depa kata orang PAS nak bakar masjid. Pemuda PAS dari Perlis, Perak dan Kelantan pun ada yang dituduh terlibat.

“Bila ana sampai, Tok Guru terus panggil. Sebab ana sebelum nii guru di (Madrasah) Yahyawiyah dan Ketua Pemuda PAS Perak. Pergi Baghdad pun dengan biasiswa Kerajaan Iraq yang diusahakan oleh PAS. Jadi, Tok Guru suruh ana bertugas di Pejabat Perhubungan PAS Perak. Masa ini di Taping. Dapat gaji cukup makan je. Takpe lah, sebab bukan ada bini lagi masa ini. Tapi inilah kerja ana yang pertama lepas balik dari Baghdad,” Ustaz bercerita panjang mengenai kisahnya menjadi murabitun PAS, 30 tahun sebelum kami.

“Tidak banyak kemudahan dan kesenangan apabila kita pilih untuk berkerja dengan jamaah ini. Duit takde, kemewahan takde. Tapi, Alhamdulillah, semua cukup. Allah beri rezeki. Walaupun duit takde, hati kita tenang saja. Ada saja rezeki yang mencukupkan hidup kita,” Ustaz seperti mendorong kami dari perasaan kecewa kerana kesempitan hidup dalam perjuangan bersama PAS.

“Ana yakin, Allah akan tolong orang tolong agama-Nya,” Ustaz terus membina keyakinan diri kami dalam perjuangan ini.

“Tapi hal kebajikan yang kamu sebut itu, ana setuju. Dari dulu lagi, masa di Jalan Pahang, depa yang kerja di Pejabat Agung dan Harakah, semua terpaksa makan berhutang di warung tepi jalan itu. Hujung bulan baru bayar. Dulu, Pak Syed (Arwah Syed Muhamad Syed Hassan), Ustaz Rahim (Arwah Ustaz Abdul Rahim Saidin), Anuar (Arwah Anuar Basri Hassan) itu hidup bersempit-sempit di Jalan Pahang. Syed dan Ustaz Rahim itu ada kelulusan. Syed itu lulus ijazah di Indonesia, pernah jadi guru di Yayasan Anda. Ustaz Rahim itu pula ijazah MA, Universiti Karachi, dia dulu pensyarah UKM, Ustaz Azizan (Tan Sri Azizan Razak) yang bawa dia ke Harakah. Sempit hidup mereka ini, kalau nak tau tanyalah Pak Daeng (Dr Daeng Sanusi Mariok).

“Kalau nak senang di akhirat, bersusah-susah dulu di dunia,” Ustaz menyimpulkan wejangannya, yang membuatkan kami terduduk. Kami sedar dan faham mengenai kesulitan yang kami perlu tempuh di atas jalan ini. Ketika ini, saya sudah menghabiskan kelas Sarjana di Universiti Malaya, Arwah Kuis pula masih berulang-alik ke UiTM Shah Alam untuk kursus Sarjana Pengurusan Maklumatnya.

“Ustaz buat kerja apa, selain menjadi kakitangan Pejabat PAS Perak masa itu?” saya bertanya kepada Ustaz.

“Masa ini ana seorang sahaja sebagai petugas, tak boleh buat kerja lain. Kerja parti banyak. Kalau ada pun kerja kampung. Siang di pejabat, malam kan ikut pimpinan pergi ceramah. Kadang-kadang Tok Guru, kadang-kadang Ustaz Hassan Adli, Ustaz Wahab Nur, Ustaz Baharuddin (Abdul Latif). Ana tukang pikul bateri, pasang speaker, buat pentas. Begitulah kerjanya. Jangan pikir sangat pasal sijil kita itu untuk gaji besar. Kalau nak gaji besar, kerja selesa memang boleh. Masa ini rata-rata orang lain ada LCE (Lower Certificate of Education) je, ana ada ijazah. Lepas kahwin, Kak Midah (Puan Hamidah Talib) ambil upah masak-masak untuk tampung keperluan hidup kami.

“Yang lain itu, rezeki dari langit lah,” Ustaz berseloroh tapi dengan penuh keyakinan.

“Selain jadi petugas parti, jawatan lain, Ustaz pegang apa,” saya masih menggali maklumat dari Ustaz.

“Di Perak macam-macam AJK-lah, depa lantik ana sebab duk sepenuh masa dengan parti. Tapi takde yang besar-besar, sebab sibuk tumpu kerja pejabat.

“Tapi, masa itu, bila dapat tahu ana dah balik dan kerja di Taiping, Ustaz Jaiz (Anwar) jumpa ana. Dia baru dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat, ganti Ustaz Abu Bakar Hamzah. Dia jadi ketua sekali dengan Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat) jadi Ketua Dewan Ulamak. Dia orang diangkat masa muktamar di Perlis tahun ’68 itu.

“Ustaz Jaiz kata, enta masuk dalam Pemuda (PAS) Pusat lah. Jadi AJK. Jaga Lujnah Pelajaran dan Dakwah. Jadi tahun’ 68 itu juga ana jadi AJK Dewan Pemuda PAS Pusat. Kebetulan pula, Ustaz Jaiz nak buat program tarbiyah yang kita panggil Gerakan Insaf. Ana diberi tugas untuk incaj program ini di bawah lajnah ana. Masa ini kita panggil seksi atau jabatan,” Ustaz terus menerangkan penglibatan awal beliau, sebaik sahaja balik dari Iraq.

“Seksi itu apa Ustaz. Macam pelik je bunyi,” saya bertanya sambil gelak. Saya fikir seksi itu sexy.

“Itu perkataan bahasa Inggeris, ‘section.’ Kita Melayukan, jadi seksi. Macam lujnah atau jabatan sekarang ini lah,” Ustaz merungkaikan kekeliruan kami.

“Berapa lama Ustaz duk di Taiping?” saya bertanya lagi.

“Tak lama sangat. Sebab tak sampai setahun ana bertugas dengan PAS Perak, (berlaku) pilihan raya. Ana pula kena jadi calon di Sabak Bernam. Lepas itu (Tragedi) 13 Mei. Masa hujung darurat, Ustaz Jaiz dapat tawaran belajar di Scotland. Ustaz Jaiz pun kerja sepenuh masa dengan PAS, tapi di Pejabat Agung (PAS), di Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Razak). Bila Ustaz Jaiz nak pergi ke UK, ana diminta masuk di Pejabat Agung. Dalam hujung tahun ’70. Jadi, di Perak itu sekitar dua tahun,” Ustaz terus bercerita mengenai pengalamannya berkhidmat kepada PAS Perak.

“Jadi, Ustaz tak pernah kerja lain, termasuk jadi cikgu sekolah agama ke?” saya belum berpuas hati dengan penjelasan Ustaz.

“Ana memang beri seluruh tumpuan kepada PAS. Tak fikir lain dah. Ana yakin jalan yang Ana pilih ini betul. Kalau kita yang mengaji agama pun ragu-ragu dengan perjuangan Islam, kita nak harap apa pada orang yang tak mengaji agama,” jawapan Ustaz kali ini membuatkan saya terpukul. Saya faham, saya mesti yakin dengan bulat. Perjuangan Islam adalah benar. Selagi PAS berpegang dengan al-Quran dan Sunnah, saya tidak akan berganjak lagi!

Semoga Allah mengampuni Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/5/2020

- Advertisement -