Selamat menyambut Hari Biodiversiti Antarabangsa

- Advertisement -

PADA tanggal 22 Mei setiap tahun, dunia meraikan Hari Biodiversiti Antarabangsa. Hari ini dipilih bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai isu-isu biodiversiti.

Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Biodiversiti Antarabangsa (International Day for Biological Diversity) Tahun 2020 kepada segenap lapisan rakyat Malaysia.

Malaysia merupakan antara 12 negara mega biodiversiti yang kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna. Sekurang-kurangnya 60 peratus spesies yang diketahui dunia terdapat di Malaysia.

- Advertisement -

Biodiversiti adalah aset semula jadi negara yang sangat berharga dalam mengekalkan persekitaran semula jadi dan sebagai ‘life support systems’ yang membekalkan makanan, air dan sumber ekonomi dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perhutanan, perikanan, perubatan dan pelancongan. Biodiversiti mempunyai kaitan rapat dengan fungsi ekosistem dalam menyumbang kepada pengurangan kesan perubahan iklim dan penampan kepada banjir.

Kehilangan biodiversiti akan menjejaskan keseimbangan dalam ekosistem. Justeru, pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti merupakan satu keperluan kritikal dan pelaburan yang penting kepada negara pada masa kini dan masa hadapan.

Pengurusan biodiversiti adalah satu bidang merentasi sektor dan perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan mengintegrasikan pemuliharaan biodiversiti dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan. Kerjasama Kerajaan dan pelbagai pihak seperti ahli akademik, pendidik, penyelidik, masyarakat tempatan, pertubuhan bukan Kerajaan, sektor swasta dan industri serta sektor-sektor lain yang berkepentingan akan menentukan masa depan biodiversiti negara.

Dengan usaha yang bersepadu, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 akan dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti, penggunaannya secara mampan dan perkongsian faedah dari penggunaan sumber genetik dalam memartabatkan Malaysia sebagai wilayah biodiversiti mega yang tersohor di dunia.

Marilah kita bersama berganding bahu dalam memelihara biodiversiti yang merupakan khazanah negara yang amat berharga ini. Usah biarkan biodiversiti kita hilang begitu sahaja, kelak kita tidak berupaya menggantikannya untuk generasi yang akan datang.

Ayuh bersama kekalkan biodiversiti negara kita.

Sekian, terima kasih.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -