Fenomena kebingungan di kalangan umat Islam

- Advertisement -

POLITIK Malaysia yang membingungkan

(1) Politik Malaysia pada dimensi pembangkang membingungkan. Baru-baru ini didedahkan rakaman mesyuarat tertutup mereka yang menggambarkan wujudnya individu yang tidak menjaga amanah, dan tiada semangat kebersamaan.

Walaupun mereka menggunakan nama ‘Pakatan Harapan (PH)’ namun mereka tidak berpakat. Mereka saling berpolitik sesama mereka untuk mengejar kepentingan masing-masing. Hakikat ini sebenarnya sudah dilihat sejak mereka masih dalam Kerajaan lagi.

(2) Banyak lagi isu-isu yang menggambarkan betapa mereka itu sedang melalui sudut krisis (crysis corner) yang tajam. Mereka yang tidak cermat pastinya terbabas. Termasuk isu perletakan jawatan Tun daripada Perdana Menteri atas desakan rakan pakatannya.

Situasi ini pastinya membingungkan orang bawah. Apatah lagi rakyat Malaysia dihidangkan dengan saraf-saraf mereka. Laman internet sepatutnya dipenuhi dengan maklumat dan pengetahuan, tetapi hari ini sarat dengan saraf.

Rakyat Malaysia dipaksa untuk menghadap hal-hal dalam kain mereka, yang pastinya akan mencetuskan konflik yang lebih parah. Masyarakat keliru mana satu betul, mana satu salah. Tak tahu siapa negarawan dan siapa politikus.

- Advertisement -

(3) Suasana politik yang membingungkan seperti ini pernah terjadi pada zaman Sahabat R.A apabila Umat Islam dilagakan oleh para munafik sehingga berlakunya Peristiwa Tahkim, dan munculnya aliran-aliran politik dalam Islam.

Mereka yang berada dalam Blok Saidina Ali R.A berijtihad bahawa mereka berada di posisi yang benar. Begitu juga mereka yang berada dalam Blok Saidina Mu’awiyah. Hasil daripada pertembungan ini muncullah Syiah dan Khawarij.

Asalnya pertembungan ini hanya dari sudut politik, tetapi pada hari ini sudah berkembang menjadi mazhab dalam feqah dan aqidah. Tak lama selepas krisis ini, berlaku perpecahan lagi disebabkan resapan ideologi falsafah.

Kebingungan akhir zaman

(1) Realiti kekeliruan atau kebingungan ini pernah disabdakan oleh Baginda S.A.W;

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا.

“Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.”


(Riwayat Muslim)

(2) Hadis ini jelas menggambarkan bahawa di akhir zaman munculnya kekeliruan. Kekeliruan demi kekeliruan ini akhirnya melahirkan suasana bingung, iaitu tidak tahu mana satu kebenaran, mana satu kebatilan. Bahkan telah disebut oleh Allah S.W.T;

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

Imam Qurtubi R.A menukilkan kata-kata Saidina Ali di dalam tafsiran ayat ini;

إن الحق لا يعرف بالرجال ، اعرف الحق تعرف أهله

“Kebenaran itu tidak dikenali melalui orangnya. Kenallah kebenaran, kamu akan kenal siapa orang orangnya.”

(3) Antara lain, Nabi S.A.W menyatakan bentuk bagaimana berlakunya suasana kebingungan di akhir zaman. Kita tidak tahu kita menyerang siapa, untuk siapa, dan kenapa. Kita tidak tahu kita menyerang pakai peluru siapa, dan kita tidak tahu kita di kelompok mana;

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ يَوْمٌ لَا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِيمَ قَتَلَ وَلَا الْمَقْتُولُ فِيمَ قُتِلَ فَقِيلَ كَيْفَ يَكُونُ ذَلِكَ قَالَ الْهَرْجُ الْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ

“Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga orang-orang saling bunuh satu sama lain tanpa mengetahui apa sebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak tahu apa sebab dia dibunuh.” Maka, ditanyakanlah kepada Baginda S.A.W, “Bagaimana mungkin ia boleh terjadi?” Baginda S.A.W menjawab, “Itulah al-harj, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka.”

(Riwayat Muslim)

Umawiyyah dan Abbasiah

(1) Di dalam sejarah, kita boleh lihat bagaimana Umat Islam diuji dengan krisis yang membingungkan. Sama ada disebabkan musuh, ataupun bingung disebabkan perselisihan dan perpecahan yang berpanjangan.

Contohnya di zaman Umawiyah lagi Umat Islam berhadapan dengan perselisihan antara Andalus yang masih mempunyai pengaruh Umawiyyah dan pemerintahan pusat yang sudah beralih ke arah Abbasiah.

(2) Di awal zaman Abbasiah Umat Islam berhadapan dengan resapan ideologi falsafah sehingga munculnya firqah-firqah yang berselirat. Ada yang terpengaruh dengan ajaran-ajaran itu.

Mereka yang terpengaruh, membina mazhab dan aliran pemikiran yang baru. Ada yang terkeliru dan kebingungan untuk menentukan mana satu di pihak yang benar sehinggalah muncul Ahlus Sunnah wal Jamaah.

(3) Di zaman ini juga munculnya orang-orang Zindiq yang mengalami krisis aqidah. Menterjemahkan Islam seperti syariat ahli kitab terdahulu. Ajaran-ajaran seperti Jahmiyyah, Qadariah Dan Jabariah menjadi perhatian.

Umat Islam bingung dengan kewujudan golongan-golongan seperti ini. Ada yang terpengaruh. Ramai juga ulamak dan pemikir Islam yang sedar hal ini dan mula menulis disiplin ilmu dan pemikiran.

(4) Ketika kejatuhan Abbasiah Umat Islam sekali lagi bingung terhadap kejatuhan pemerintahan itu. Ribuan Umat Islam dibunuh Tatar. Khalifah diheret sekeliling Baghdad dan akhirnya dibunuh di dalam karpet dipijak beramai-ramai.

Karya-karya Umat Islam dikumpulkan dan dijadikan jambatan untuk membolehkan Tatar menyeberang Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Umat Islam hilang punca kekuatan sehinggalah munculnya Uthman Ghazi membina Empayar Uthmaniah.

Kebingungan di era Uthmaniah

Di awal pemerintahan Khilafah Uthmaniah turut tidak lari daripada perselisihan. Namun berjaya diselesaikan dengan baik. Tetapi Uthmaniah berhadapan dengan situasi ‘gangguan’ intelligent Barat dan golongan Orientalis.

Golongan ini mencipta kebingungan terhadap Umat Islam, dengan karya-karya yang mengelirukan orang Islam. Antaranya mereka mencetuskan perselisihan antara Salaf dan Khalaf.

(2) Hasil cetusan tersebut, timbullah Arab Revolt 1917 yang menjadi punca utama kejatuhan Uthmaniah. Orang-orang Arab dibingungkan dengan sentimen untuk menjulang bangsa itu mengatasi Bangsa Turki.

Sentimen bangsa ini akhirnya meranapkan Uthmaniah, dan Bangsa Arab tidak perolehi apa-apa untung pun, melainkan Umat Islam hidup dalam keadaan berpecah dan kuasa pusat Islam menjadi hangus.

(3) Umat Islam dibingungkan dengan slogan Sekularism, Nasionalism, Modernism, dan sebagainya. Umat Islam melihat laungan-laungan itu adalah kebenaran, walhal meruntuhkan mereka.

Ada yang terikut dengan gaya Barat sehingga mewujudkan fenomena Young Turks, dan Ittihad wat Taraqqi. Umat Islam dibingungkan dengan kumpulan-kumpulan yang menyeru ke arah perubahan, walhal menjatuhkan Khilafah.

(4) Pasca kejatuhan Uthmaniah menampakkan perpecahan yang besar bagi Umat Islam. Negara-negara Arab berjaya dikerat sebelum itu lagi melalui Deklarasi Balfour dan Perjanjian Sykes Picot.

Negara-negara Islam mula berubah beransur-ansur ke arah Sekular. Apatah lagi di era penjajahan British dan Belanda yang meninggalkan kesan yang cukup dalam terhadap perundangan.

Hari ini yang membingungkan

Hari ini kita saksikan umat Islam dalam kebingungan. Bingung terhadap perancangan Barat. Umat Islam terpecah menjadi dua blok. Arab Saudi, Mesir dan seangkatan dengannya berada di Blok Barat.

Manakala Iran, Syria dan sealiran dengannya berada di Blok Timur. Negara Islam di Blok Barat pula bersaing untuk menjadi kuasa dominan atau suara bagi umat Islam.

(2) Pertembungan Islam antara Blok Timur dan Barat dihiasai dengan krisis mazhab Sunni-Syiah yang dibakar tanpa kesudahan. Menyebabkan Umat Islam bercakaran sesama sendiri.

Pertembungan sesama negara Islam di Blok Barat pula dihiasi dengan krisis mazhab Salaf Khalaf, dan dibakar dengan sentimen Aswaja dan Wahhabi. Menjadikan perpecahan itu semakin menyala dibakar.

(3) Umat Islam hari ini dibingungkan dengan perselisihan mazhab. Masing-masing merasakan mazhab mereka di atas kebenaran, manakala mazhab lain terus ke neraka. Terjerat dengan mainan musuh tanpa sedar.

Umat Islam seluruh dunia ditindas dan dibunuh oleh Barat, tetapi Umat Islam lebih cenderung mengkaji perselisihan mazhab berbanding mengkaji perancangan musuh. Menganggap perancangan musuh itu hanya sekadar teori.

(4) Al-Quran dan Hadis sepatutnya menyatukan, tetapi hari ini telah diolah oleh Barat menjadi instrumen penting untuk menyemarakkan perselisihan. Berselisih bukan disebabkan hujah, tetapi disebabkan sentimen.

Jalan yang bersimpang siur ini menyebabkan umat Islam ada yang kebingungan. Bingung kerana diperbodohkan atau dijadikan alat oleh musuh. Seolah-olah perselisihan itu lebih utama berbanding kesatuan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -