Tamatkan permusuhan, utamakan rakyat

rakyat
- Advertisement -

DYMM Yang di-Pertuan Agong mengakhiri titah perasmian Parlimen bagi tahun 2020 dengan pesanan yang sangat penting untuk dipatuhi oleh semua pemimpin politik. Baginda menggesa agar mereka tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai punca saling bermusuhan dan caci mencaci. Sebaliknya perbezaan pandangan perlu dijadikan asas untuk menjana idea baru dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

Baginda juga memberikan pesanan agar semua pihak mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Di awal ucapan, Baginda menjelaskan kronologi pelantikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bermula dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir. Penjelasan terperinci itu merupakan satu bentuk gesaan agar semua pihak menghormati dan mengiktiraf Kerajaan yang ada sebagai satu Kerajaan yang absah.

Isyarat baginda juga menggambarkan bahawa langkah-langkah yang boleh membawa negara kepada ketidaktentuan politik, seperti yang berlaku sejurus perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir perlu dielakkan. Baginda meminta agar pemimpin politik tidak menyeret negara sekali lagi ke kancah konflik politik ketika rakyat berhadapan masalah dan masa depan tidak menentu dek COVID-19.

- Advertisement -

Titah YDPA itu perlu dihormati oleh semua rakyat, terutamanya pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keabsahan Kerajaan sedia ada atas alasan kononnya Perdana Menteri kini tidak mempunyai sokongan majoriti. Hakikatnya menurut Perlembagaan, keabsahan Kerajaan tidak perlu disahkan melalui undi di Dewan Rakyat. Perlembagaan secara jelas memberi kuasa kepada YDPA untuk membuat penilaian berkaitan pihak yang mendapat sokongan majoriti bagi memimpin Kerajaan.

Bagi mengekalkan kestabilan negara di saat berdepan dengan wabak COVID-19 ini, semua pihak wajar menghormati kebijaksanaan YDPA dalam membuat ketetapan. Tambahan pula, umum mengetahui bahawa tidak ada tokoh lain yang mempunyai sokongan yang lebih besar di Dewan Rakyat berbanding Perdana Menteri. Jika diandaikan Perdana Menteri sekarang tidak mempunyai sokongan majoriti mudah iaitu 112 anggota Dewan Rakyat sekali pun, beliau tetap memiliki blok sokongan terbesar berbanding dua tokoh lain iaitu Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Walau apa pun andaian yang cuba dibuat, susunan kerusi Dewan Rakyat dalam persidangan hari ini menunjukkan bahawa blok Kerajaan mempunyai cukup sokongan majoriti anggota Dewan, iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat, berbanding di pihak pembangkang seramai 108 ahli.

Adalah diharapkan agar semua pihak terutamanya pemimpin politik menghayati titah YDPA dengan mengurangkan pergeseran politik dan meningkatkan kerjasama khususnya antara pihak Kerajaan dan pembangkang. Kerajaan wajar melibatkan pemimpin pembangkang dalam usaha-usaha mengekang wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Peranan pembangkang, sekurang-kurangnya dari sudut ‘semak dan imbang’ perlu diiktiraf melalui mekanisme yang kukuh dan berwibawa.

Manakala di pihak pembangkang pula, mereka wajar menamatkan usaha untuk mengemukakan Undi Tidak Percaya khususnya dalam tempoh wabak COVID-19 ini. Jika mereka ingin menguji sokongan Kerajaan yang ada sekali pun, ia hanya sesuai dibuat apabila negara dan dunia telah kembali pulih dari serangan pandemik COVID-19 ini.

Itu pun jika pihak pembangkang mempunyai calon yang jelas dan mendapat sokongan majoriti anggota Dewan. Jika belum ada ketetapan muktamad berkaitan calon gantian, sama ada Tun Dr Mahathir, Dato’ Seri Anwar atau mana-mana calon lain, maka lebih baik hasrat itu dilupakan sahaja. Melainkan jika rakyat dan negara telah bersedia untuk menempuh PRU ke-15.

Ringkasnya, pemimpin politik perlu mengutamakan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik. Suasana yang ada kini sepatutnya mendorong kita untuk menjunjung keharmonian serta perdamaian, dan melupakan persengketaan. Kemuliaan Ramadan dan keindahan Aidil Fitri tidak sepatutnya dicemari dengan konflik politik yang berpanjangan.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF – HARAKAHDAILY 21/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -