Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 22)

ALLAH S.W.T menjadikan dunia ini sebagai tempat manusia beramal soleh serta berbudi kepada bumi. Walau secantik mana sekalipun dunia dan selazat mana sekalipun nikmat dikecapi, ia hanyalah sementara sahaja. Sesiapa yang leka dengan nikmat harta yang diperolehi, anak pinak yang ramai, suatu masa kelak pasti dia akan meninggalkannya. Golongan yang ingkar lagi takbur amat berbangga dan tenggelam dengan nikmat keduniaan sehingga melupai bahawa mereka akan kembali kepada Allah dan menerima pembalasan setimpal. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

وَقَالُوا۟ نَحۡنُ أَكۡثَرُ أَمۡوَ ٰ⁠لࣰا وَأَوۡلَـٰدࣰا وَمَا نَحۡنُ بِمُعَذَّبِینَ. قُلۡ إِنَّ رَبِّی یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَیَقۡدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا یَعۡلَمُونَ

“Dan mereka berkata lagi: Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya) akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

[Saba’: 35-36]

Golongan yang beriman kepada Allah S.W.T, mereka sentiasa menyedari bahawa dunia adalah medan ujian dalam kehidupan. Adakalanya nikmat dikecapi dan adakalanya menerima pelbagai kesulitan hidup. Jadi, orang beriman tidak pernah kecewa kerana nikmat akhirat melebihi segalanya dan ukuran dunia terlalu kecil jika dibandingkan dengan akhirat. Sabda Nabi S.A.W:

مَوْضِعُ سَوْطٍ فِي الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

“Satu tempat di Syurga yang sebesar cemeti lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

(Riwayat Bukhari)

Oleh itu, Al-Syahid Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zhilal Al-Quran menegaskan bahawa kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Akan tetapi, apabila diukur dengan ukuran akhirat dan ditimbangkan dengan neraca akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil. Sementara Dr Wahbah Al-Zuhaili melalui Tafsir Al-Munir menyatakan bahawa kehidupan dunia itu ada lima jenis:

Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah lumrah bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.

Kedua, dunia adalah hiburan dan tempat mengecapi kenikmatan. Ini menjadi kebiasaan bagi anak-anak muda, yang biasanya tidak memberikan sesuatu melainkan mendapat penyesalan di akhirnya.

Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini biasanya kesukaan kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan dan menyerlahkan kecantikan.

Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kekuasaan, pangkat dan kepujian.

Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam banyaknya harta dan anak pinak, namun semuanya bakal ditinggalkan.

Sedangkan Allah menjadikan dunia ini sebagai tempat mengabdikan diri dan melaksanakan segala titah perintah-Nya. Jika Allah mengurniakan rezeki anak pinak dan harta yang melimpah ruah, maka gunalah untuk amal kebajikan tanpa melupai kesyukuran kepada Allah. Dengan demikian, ujian yang diberikan ini dapat dilalui berpandukan kehendak syariat dan kelak Allah mengganjari dengan nikmat yang lebih besar sebagai kurniaan kepada golongan beriman. Firman Allah S.W.T:

وَمَاۤ أَمۡوَ ٰ⁠لُكُمۡ وَلَاۤ أَوۡلَـٰدُكُم بِٱلَّتِی تُقَرِّبُكُمۡ عِندَنَا زُلۡفَىٰۤ إِلَّا مَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحࣰا فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ جَزَاۤءُ ٱلضِّعۡفِ بِمَا عَمِلُوا۟ وَهُمۡ فِی ٱلۡغُرُفَـٰتِ ءَامِنُونَ

“Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan. Dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.”

[Saba’: 37]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
22 Ramadan 1441 / 15 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 15/5/2020

Whats-App-Image-2023-06-06-at-5-54-25-PM