Tafsir dan tujuh

- Advertisement -

HARI ini kita rehat sekejap daripada siri al-Kahfi. Kebetulan siri lepas (14) berakhir kisah mengenai Nabi Musa dan Khadir. kepada yang terlepas, boleh skrol posting sebelum ini.

Saya nak berkongsi mengenai kitab tafsir secara santai. Oleh kerana Ramadan kali ini menulis mengenai pengajaran surah al-Kahfi, memang tak dapat lari dari membelek kitab tafsir. Di situ, sedikit sebanyak maklumat mengenai tafsir berjaya dikumpul.

- Advertisement -

Saya susun kepada 7 bab:

Bab satu: 7 tafsir pilihan

Pertama, saya senaraikan kitab tafsir yang paling banyak saya rujuk.

(1) Tafsir Ibn Jarir at-Tabari (310H) – جامع البيان

Ini merupakan tafsir terawal yang dibukukan secara lengkap dan berjaya sampai ke tangan kita. Dikategorikan sebagai tafsir bil ma’thur. Menghimpunkan pelbagai riwayat berkait dengan ayat termasuk tafsiran Sahabat, Tabiin, Israiliyat malah syair-syair lama. Didatangkan sekali dengan sanad. Kadang-kadang beliau tajrih dan tarjih. Menjadi rujukan utama tafsir lain.

Perlu baca untuk memahami dunia tafsir.

(2) Tafsir Fakhruddin ar-Razi (606H) – مفاتيح الغيب

Tafsir ini sangat luas perbahasannya merangkumi falsafah, sains, matematik dan seumpamanya. Ada yang kategorikan sebagai tafsir ahli kalam. Dikatakan beliau tidak habis menulisnya dan disambung oleh dua orang lain. Namun tidak dapat dibezakan antara ketiga penulisan tersebut.

Bagus untuk mereka yang ingin menghayati tafsir secara lebih dekat dengan kehidupan, dan meneroka keluar dari teks.

(3) Tafsir al-Qurtubi (671H) – الجامع لأحكام القرآن

Dikategorikan sebagai tafsir fuqaha’. Fokus adalah menerangkan hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran. Walaupun beliau mazhab Maliki, namun banyak hukum yang dinyatakan berbeza dengan mazhabnya. Selain hukum, banyak juga huraian lain yang bermanfaat.

Sesuai untuk mengetahui secara ringkas mengenai hukum. Juga bagi menjernihkan dakyah-dakyah sesat Muktazilah, Qadariyah, Rafidhah dan sebagainya.

(4) Tafsir Ibn Kathir (774H) – تفسير القرآن العظيم

Boleh dikatakan ini merupakan tafsir bil ma`thur kedua terbaik selepas at-Tabari. Banyak menyaring riwayat dan mentarjihkannya termasuk isu-isu feqah. Boleh dianggap ringkasan kepada at-Tabari dan al-Qurtubi. Anak murid Ibn Taimiah.

Sesuai untuk rujukan segera yang tidak sempat untuk belek banyak tafsir lain. Sesuai buat orang awam yang ingin mempelajari ilmu tafsir.

(5) Tafsir Syed Qutb (1386H) – في ظلال القرآن الكريم

Tafsir moden yang ditulis dalam penjara. Walaupun beliau tidak menggelarkan bukunya sebagai tafsir, tetapi ulamak kemudian mengiktiraf sebagai tafsir. Menggunakan kepakarannya sebagai pakar sastera dan budaya dalam menghayati makna-makna ayat. Mengajak supaya kembali kepada Islam sebagai manhaj hidup yang sempurna, sebagaimana fikrah Ikhwanul Muslimin.

Tafsir yang perlu dibaca di akhir zaman ini. Menjawab banyak kekeliruan ideologi moden seperti Liberalisme, Sosialisme dan sebagainya. Sebab itulah diharamkan beberapa negara dan dituduh macam-macam.

(6) Tafsir Mutawalli as-Sya’rawi (1419H) – خواطري حول القرآن الكريم

Merupakan himpunan kuliah beliau yang disusun oleh muridnya. Bahasanya level marhaen, tulisannya menyentuh sanubari, setiap kali membacanya terbayang seolah sedang mendengar syarahannya. Lebih banyak menyentuh masalah masyarakat.

Tafsir yang baik untuk terapi jiwa. Banyak pengajaran yang boleh dikongsikan kepada orang awam.

(7) Tafsir Abdurrahman Habannakah (1425H) – معارج التفكر ودقائق التدبر

Cara susunan surahnya agak kreatif iaitu mengikut tertib penurunan ayat. Ini bertujuan supaya lebih menjiwai keadaan Rasulullah S.A.W sepanjang hayatnya. Kerana beliau seorang ilmuwan dan juga pemikir, tulisannya sentiasa berbentuk kritikal dan provokatif, mencabar norma stereotaip masyarakat dan ilmuwan.

Sangat perlu dibaca bagi melihat sisi-sisi berbeza makna al-Quran. Boleh pelajari cara tadabbur al-Quran yang betul.

Bab dua: 7 tafsir tambahan

Saya juga biasa membelek tafsir-tafsir berikut:

(1) Tafsir an-Nasafi (710H) – مدارك التنزيل وحقائق التأويل

Tafsir ini memfokuskan sudut bahasa. Lanjutan dan saringan kepada tafsir al-Baidhawi. Lebih ringan untuk pelajar. Syllabus saya di Maahad Darul Quran, meniru Maahad Azhar, Mesir.

(2) Tafsir Abi Hayyan (745h) – البحر المحيط

Juga tafsir yang fokus bahasa tapi lebih mendalam. Lanjutan perbincangan tafsir Ibn Atiyyah dan Zamakhsyari. Namun terdapat juga pengajaran-pengajaran penting selain bahasa.

(3) Tafsir Jalalain (911H) – تفسير الجلالين

Ditulis oleh dua orang Jalaluddin iaitu Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin As-Suyuti. Ringkas. Sesuai untuk tadabbur segera. Jumlah perkataannya cuma lebih sedikit daripada al-Quran. Saya biasa bawa ke mana-mana sebelum zaman gajet.

(4) Tasir al-Alusi (1270H) – روح المعاني

Boleh dianggap ensiklopedia tafsir. Lebih kepada kategori tafsir bil ra’yi. Tetapi ada juga mengkategorikan sebagai tafsir isyari.

(5) Tafsir Dr Wahbah Zuhaili (1418H) – تفسير المنير

Perbahasannya luas tetapi tersusun mengikut bab. Bermula dengan qiraat, i`rab, balaghah, mufradat, sebab nuzul, perkaitan ayat dengan ayat sebelum, huraian dengan subtajuk hinggalah ke pengajaran.

(6) Ensiklopedia ringkas al-Quran (1318H) – موسوعة القرآنية الميسرة

Ketika awal ke Syria. Inilah tafsir yang dirujuk untuk memudahkan faham bagi membantu hafalan. Hasil karya empat Sarjana Syam iaitu Dr Wahbah Zuhaili, Wahbi Sulaiman, Adnan Salim, Bassam Rusydi Zain. Susunannya ringkas tetapi padat dan sistematik. Mudah untuk akses maklumat di zaman tanpa gajet.

(7) Tafsir as-Sobuni Hafizahullah – صفوة التفاسير

Rujukan kedua saya selepas Mausuah. Lebih luas tetapi tidak seluas Tafsir Munir. Juga sistematik. Ringkasan kepada tafsir silam yang muktabar. Dikatakan diharamkan di Saudi. Penulis juga pernah aktif dengan gerakan Islam, masih hidup, menetap di Turki dan pernah ke Malaysia.

Bab tiga: 7 tafsir pelengkap

Jika saya berpeluang untuk melakukan lebih kajian, saya akan tambah rujukan seperti berikut:

(1) Tafsir al-Baghawi (516H) – معالم التنزيل

Tafsir bil ma`thur yang hanya menyatakan qaul soheh.

(2) Tafsir Ibn Atiyyah (546H) – المحرر الوجيز

Tafsir yang sering dibandingkan ulamak dengan Zamakhsyari. Menjadi kebanggan Ahlu Sunnah.

(3) Tafsir al-Baidhawi (685H) – أنوار التنزيل

Lebih kepada perbahasan bahasa. Sedidik terpengaruh dengan Zamakhshari dan Ar-Razi.

(4) Tafsir as-Syaukani (1250H) – فتح القدير

Himpunan tafsir bil mathur_ dan _bil rayi. Namun lebih kepada ma’thur.

(5) Tafsir Rashid Ridha (1354H) – تفسير المنار

Himpunan kuliah gurunya, Syeikh Muhammad Abduh. Bersifat reformasi budaya, namun diolah dalam bahasa yang mudah. Sesuai untuk orang awam. Fokus supaya al-Quran dijadikan manhaj hidup. Namun hanya sampai juzuk 12.

(6) Tafsir al-Maraghi (1365H) – تفسير المراغي

Juga murid Syeikh Muhammad Abduh. Lebih luas perbincangan berbanding al-Manar. Himpunan kuliah beliau yang diikuti berbagai golongan termasuk kerabat diraja. Agak sistematik.

(7) Tafsir as-Sa’di (1376H) – تيسير الكريم الرحمن

Tafsir moden yang jelas. Banyak pengajaran dan faedah yang didatangkan. ٍSesuai untuk orang awam.

Bab empat: 7 tafsir buat ahli tafsir

Bagi yang ingin mendalami ilmu tafsir, ini senarai beberapa tafsir yang banyak dirujuk ulamak tafsir. Namun tidak sesuai untuk orang awam atau pelajar baharu.

(1) Tafsir as-Samarqandi (373H) – بحر العلوم

Antara tafsir terawal. Tafsir bil ma’thur. Namun tidak didatangkan sanad melainkan sedikit.

(2) Tafsir al-Zamakhsyari (538H) – الكشاف

Boleh dikatakan terbaik dari sudut bahasa. Ulamak lain banyak petik huraian bahasanya. Namun berakidah muktazilah dan memberi kesan dalam penafsirannya.

(3) Tafsir an-Naisaburi (728H) – غرائب القرآن ورغائب الفرقان

Banyak terkesan dengan ar-Razi dan al-Zamakhsyari. Tafsir bil ra’yi yang indah dan cukup rasa.

(4) Tafsir al-Khazin (741H) – لباب التأويل في معاني التنزيل

Terkenal dengan periwayatan Israiliyat, sejarah dan kisah umat terdahulu. Baik untuk dijadikan bahan kajian lanjut.

(5) Tafsir As-Suyuti (911H) – در المنثور

Tafsir bil ma’thur semata-mata tanpa huraian. Fokus mengumpul pendapat Salafussoleh.

(6) Tafsir Abi al-Suud (982H) – إرشاد العقل السليم

Lebih berfokus kepada tafsir bil ra’yi tanpa larut dalam perbahasan fiqh dan ilmu lain.

(7) Tafsir Ibn Asyur (1393H) – التحرير والتنوير

Tafsir bil ra’yi. Cenderung kepada perbahasan bahasa. Menekankan Qiraat.

Bab lima: Tafsir dalam senarai

Tiga tafsir yang saya berhasrat untuk memiliki sama ada bentuk PDF atau Hardcopy:

(1) Tafsir Ibn Taimiah (728H) – الجامع لكلام الإمام

Buku ni dicetak tahun 1432H oleh Dar Ibn Jauzi di Saudi. Sebelumnya telah ada beberapa kitab menghimpunkan tafsir Ibn Taimiah tetapi tidak lengkap. Berhasrat memiliki kerana ramai ulamak menyarankannya.

(2) Tafsir Azhar (1401h) – Buya Hamka

Juga dikhabarkan ditulis dalam penjara. Bagus untuk melihat tafsir dari sisi ulamak nusantara yang terkenal sebagai sasterawan, aktivis dan ahli politik. Namun terlalu mahal. Alangkah bagusnya kalau ada yang nak berkongsi saham akhirat.

(3) Tafsir Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Beliau telah menamatkan kuliah tafsir mingguan sebanyak dua kali. Sehingga kini masih berlangsung setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila. Huraiannya meliputi sudut akidah, sejarah, ideologi dan politik.

Namun sayangnya ia tidak dibukukan. Perlu ada usahawan untuk melabur dalam projek pembukuan dengan kerjasama keluarga Tuan Guru. Perlu ada full-timer berelaun yang fokus.

Bab enam: 3 buku mengenai kitab tafsir

Tiga rujukan utama dalam penulisan ini:

(1) Muhammad Husain Az-Zahabi (1397H) – التفسير والمفسرون

(2) Manna’ Qattan (1420H) – مباحث في علوم القرآن

(3) Dr Nuruddin Itr Hafizahullah – علوم القرآن الكريم

Bab tujuh: 3 akses maya kitab tafsir

Tiga platform yang sering digunakan untuk membaca tafsir.

(1) Aplikasi الباحث القرآني

(2) Aplikasi Quran for Android

(3) Library archive.org

Semoga entri ini membantu para sahabat bertadabbur di bulan mulia ini. Selamat beramal!

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 9/5/2020

- Advertisement -