Terima kasih KASA – Ketua Menteri Melaka

Ketua Menteri Melaka, Dato' Sulaiman Md Ali
- Advertisement -

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Dato’ Sulaiman Md Ali mengucapkan terima kasih terhadap kerajaan Persekutuan dan Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) atas segala bantuan yang diberi dalam menyelesaikan masalah air di Melaka.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka berkaitan dengan pemakluman beberapa projek bagi mengatasi masalah air di Melaka semalam.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan Negeri Melaka sedang memohon peruntukan dari kerajaan Pusat untuk melaksanakan ‘Projek Mitigasi Tasik Biru Dan Sungai Kesang’ sebagai alternatif menghadapi musim kemarau yang dihadapi oleh Negeri Melaka dua kali dalam setahun.

Menurutnya, sumber air dari Tasik Biru dan Sungai Kesang ini akan dialirkan ke Empangan Durian Tunggal (EDT) bagi mengurangkan kebergantungan empangan ini kepada sumber air dari Sungai Melaka.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri pada 22 April lepas telah mengemukakan surat kepada Menteri KASA, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man bagi memohon peruntukan berjumlah RM300 juta untuk membiayai perlaksanaan projek tersebut.

Tambah Sulaiman lagi, Melaka adalah antara lima negeri di Malaysia yang mempunyai sumber air yang terhad selain Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.

“Mengikut kajian ‘Natural Water Resources Study (NWRS) 2000-2050’ Melaka akan mengalami defisit sumber air menjelang 2022 bagi menampung keperluan bekalan air yang semakin meningkat.

“Kerajaan Negeri Melaka begitu berharap agar projek-projek yang telah diluluskan dapat dilaksana dan disiapkan dengan segera. Selain itu besar juga harapan Kerajaan Negeri agar Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) dapat mempertimbangkan permohonan projek baru,” katanya.

Untuk rekod dua projek telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu melalui kementerian ini iaitu Projek Empangan Jernih bernilai RM200 juta yang diluluskan pada Oktober 2018 dan Projek Off River Storage Melaka bernilai RM350 juta yang diluluskan pada 2017.- HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -