KORONAVIRUS yang dikenali COVID-19 adalah wabak bencana yang melanda alam bumi tahun 2020. Setiap yang dijangkitinya di semua negara asal didapati positif, nescaya terdedah kepada kematian. Antara yang diuji itu sebahagian besarnya dilimpahi rahmat dipulihkan dengan izin Allah.
Dalam empat bulan ini sekalian pakar perubatan tertumpu mencari vaksin merawatnya dan masih belum ditemui. Dengan berbagai ubat yang ada, lebih ramai dapat dipulih dari yang mati. Di setengah negara seperti Amerika, Sepanyol dan Itali, ratus ribu jangkitan positif, yang mati ramai peratusnya masih kecil dibandingkan dengan bilangan jangkitan.
Jangkitan di Amerika sahaja mencecah sejuta, tapi matinya baharu 56,523. Kerana ubatnya belum ditemui, sekatan dari lebih banyak merebak hanya dengan tiap-tiap negara mengenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan. Semua penduduk diperintah duduk di rumah. Semua perhimpunan sosial diharamkan. Semua mesti menjarak satu meter dengan yang lain.
Bersalam dan bersosial bagi semua adalah rahmat sejak kewujudan manusia, tetapi bersalam dan bersosial sekarang adalah bencana. Semuanya diuji dengan apa yang dikatakan normal baharu. Tidak berkumpul dan tidak bersalam adalah gaya hidup baharu bagi semua.
Dalam normal baharu ini semua diuji duduk di rumah, hingga pentadbiran Islam seluruh dunia melarang berjamaah di masjid dan surau. Tiada solat Jumaat dan tarawih. Gantikan Jumaat dengan solat waktu di rumah, tarawih berjamaah sahaja di rumah.
Khutbah semua masjid di Malaysia di ambang 2020 menyeru sekalian jangan tinggal solat berjamaah setiap waktu. Tahun itu juga dunia dilanda COVID-19 memaksa masjid dan surau ditutup. Ia dilihat sebagai ujian dan bukan mendera umat Islam jika tiada haji tahun ini, tetapi ia adalah muslihat mencegah bala kesihatan untuk sementara..
Memaksa semua duduk di rumah adalah deraan. Tetapi deraan itu dapat membendung COVID-19 mereka. Biarlah sekalian yang positif terus diuji, asal yang lebih ramai belum dijangkiti mendapat rahmat dengan berkurung di rumah, agar yang positif yang belum sampai ajal, dapat dirawat seadanya.
Ramai kurang rezeki dengan berkurung itu, tetapi kurang rezki iu adalah lebih baik dari mati beramai-ramai. Dalam ujian itu yang tidak dijangkiti adalah rahmat dan yang positif tetapi tidak mati mendapat rahmat setelah diuji. Ujian itu berpahala dan melepas ujian itu adalah sebesar rahmat dan rahmat tetap berpahala.
Yang tidak dijangkiti dilimpahi rahmat besar, tetapi yang pulih COVID-19 lebih besar rahmatnya.
Orang Islam yang diuji tidak ke masjid, duduk di rumah sahaja di beri rahmat berjamaah di rumah dengan isi rumah. Selama 80 tahun saya tidak pernah jadi imam kerana di masjid ada imamnya. Bila terpaksa tarawih di rumah siapa hendak jadi imam. Maka saya terpaksa jadi imam.
Sudah dekat masa mati tiada tarawih di masjid. Tarawikh amal penting hanya ada bulan puasa. Tidak sempurna puasa jika tidak tarawih. Kerana imam tidak ada, saya pun jadi imam. Pada saya ia ujian, tapi adik saya kata jadi imam selepas 80 tahun tidak jadi imam adalah satu rahmat. Cakapnya betul juga.
Jika tiada COVID-19 tidaklah saya merasa jadi imam. Dengan wabak itu saya jadi imam. COVID-19 telah memberi rahmat kepada saya. Moga-moga Allah redha ibadat dan rahmati pengalaman jadi imam awal Ramadan ini. Jika tiada COVID-19, tiada saya jadi imam. Moga-moga itulah rahmat namanya.