Sejarah mata wang dan globalisasi China

- Advertisement -

BRETTON Woods dan IMF

(1) Tak pasti kita sedar atau tidak, sebenarnya China dilihat cuba menuju ke arah globalisasi yang selama ini lebih dikuasai oleh Barat, atau lebih khusus Amerika.

Dalam banyak bab. Apa yang dilakukan oleh Amerika ketika muncul sebagai kuasa global satu ketika dahulu, hari ini sedang dilakukan oleh China. Kita perlu gostan sedikit sejarahnya.

(2) Amerika satu ketika dahulu cuba memonopoli ekonomi dunia yang mana hari ini sedang diusahakan oleh China. Monopoli menjadikan Dollar muncul sebagai sandaran utama dunia.

Kisahnya pada 1944, apabila muncul Perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dollar Amerika.

(3) Amerika memberi jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas. Di sinilah tertubuhnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang juga dikenali sebagai Kumpulan Wang.

Ia merupakan sebuah organisasi Antarabangsa yang berpangkalan di Washington DC, yang mana hari ini terdiri daripada 189 buah negara yang menganggotainya.

(4) Antara ‘alasan manis’ penubuhannya ialah berusaha untuk memupuk kerjasama kewangan global, menjamin kestabilan kewangan, perdagangan Antarabangsa dan lain-lain.

Mereka juga mendakwa ia bagi menggalakkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan. Walhal dengan kewujudan Bretton Woods dan IMF ini lambang kepada monopoli Amerika.

- Advertisement -

Perubahan ke Petrodollar

(1) Bretton Woods projek Amerika ini tak bertahan lama apabila, Amerika mula menyalahguna peluang yang ada dengan mencetak Dollar secara berlebihan. Ini menyebabkan timbulnya kesangsian blok Eropah.

Presiden Perancis ketika itu, Charles De Gaulle adalah orang pertama yang mengambil tindakan terhadap kerja kotor Amerika itu. Beliau mengarah penukaran daripada 150 juta USD di dalam simpanan Perancis dengan emas yang ada pada Amerika.

Tindakan Perancis ini kemudiannya diikuti oleh Sepanyol yang menarik keluar simpanan emas pada Amerika dengan menukarkannya dengan nilai 60 juta USD yang ada dalam simpanan mereka.

(2) Tindakan tersebut telah menyebabkan simpanan emas di Fort Knox berkurang secara drastik. Apatah lagi ketika itu berlakunya Perang Vietnam (1955-1975) yang sangat tinggi kosnya.

Situasi ini menyebabkan Kerajaan Amerika yang diketuai oleh Richard Nixon ketika itu mula berfikir untuk mengubah sistem mata wang Antarabangsa. Akhirnya Bretton Woods dimansuhkan pada 1971.

(3) Apa akibatnya? Mata wang USD yang dimiliki oleh mana-mana pihak, tidak lagi boleh ditukar dengan emas sepertimana dahulu mengikut Perjanjian Bretton Woods

Selain itu, akibat yang perlu kita fikirkan ialah, duit-duit kertas nilainya menjadi ‘sifar’. Bahasa mudahnya, ia sudah tiada nilai. Melainkan kita pergi beli emas dan simpan.

Untuk kekal berkuasa, Amerika perlu bertindak segera untuk terus monopoli ekonomi dunia. Maka muncullah istilah Petrodollar di era tersebut, dan mula menjadi rasmi pada 1974.

Petrodollar dan Cryptocurrency

(1) Petrodollar asalnya ialah proses pembelian minyak oleh Amerika dengan menggunakan USD iaitu sekitar 1973. Tujuannya ialah menaikkan rating penggunaan mata wang itu.

Penggunaan USD ketika itu terhad. Iaitu hanya berlaku antara Amerika dan negara pengeksport petrol yang dibeli sahaja. Hal ini menjadi sebuah idea bernas pada 1974.

(2) Pada tahun itu, wujudnya pakatan Amerika dengan Arab Saudi untuk menggunakan mata wang USD dalam semua urusan transaksi yang berkaitan dengan petrol.

Sebagai ganjarannya, Amerika menawarkan jaminan keselamatan terhadap negara itu, dari sudut ketenteraan dan persenjataan. Ringkas cerita, Arab Saudi pun setuju.

(3) Apabila Arab Saudi setuju untuk menggunakan mata wang itu dalam semua proses eksport minyak, menyebabkan mata wang itu terlonjak semula khususnya pada 1974.

1975, negara-negara OPEC secara perlahan akhirnya turut menggunakan mata wang itu untuk urusan jual beli petrol. Inilah asal-usul mata wang USD disandarkan kepada Petrol (Petrodollar).

(4) Hari ini China dilihat cuba menguasai dunia mata wang apabila berusaha ke arah crypto currency, atau mata wang digital. Seolah-olah sejarah Amerika itu sedang diusahakan oleh China.

Boleh baca artikel saya mengenai era 2020 yang turut menggambarkan ke arah penggunaan crypto currency [1] dan beberapa perubahan besar dunia yang dijangka pada tahun ini.

Persaingan dan Digital Darwinism

(1) Sejarah yang panjang mengenai globalisasi Amerika mula memperlihatkan penghujungnya. Ia mula dikuasai oleh China. Sarat dengan pengaruh mereka selain isu mata wang.

Dari sudut masa depan penguasaan ekonomi, mungkin perlu dikaji mengenai agenda Belt And Road Initiative (BRI) yang dilihat berkaitan juga dengan geopolitik hari ini dan masa depan.

(2) Kita boleh juga lihat persaingan-persaingan lain seperti dari sudut alam perniagaan yang turut berkaitan dengan ekonomi, dan berkaitan juga dengan teknologi.

Contohnya persaingan ‘cloud’, Amerika ada Amazon Web Services (AWS). Manakala China pula ada Ali Baba. Amerika ada Paypal, China pula ada Ali Pay. Begitulah gambaran persaingannya

(3) Kita boleh besarkan skala kajian kita terhadap ‘Digital Darwinism’ iaitu satu istilah yang menggambarkan evolusi terhadap dunia digital yang mengheret kepada alam perniagaan.

Perbincangan ini hangat sejak 10 tahun kebelakangan ini, seolah-olah ia telah diduga. Dalam keadaan perkembangan teknologi yang semakin ‘rare’.

(4) Ada yang membahasakan dengan New Digital Revolution yang mana kemajuan dan kelajuan China dalam dunia ini agak hebat. Mampu bersaing, dan mungkin satu hari nanti ‘mengalahkan’.

Boleh baca artikel saya mengenai persaingan 5G [2] yang banyak dijuarai oleh China, dan mampu mendatangkan keuntungan yang besar terhadap China.

Teknologi, budaya, serangan minda

(1) Realiti persaingan China ini selaras dengan pergerakan dunia ke arah Revolusi Industri 4.0 yang mungkin mampu mengalahkan kecerdikan manusia seperti kewujudan Artificial Intelligence (Ai).

Barat membincangkan bahawa realiti Digital Darwinism yang dinyatakan tadi mampu mengubah masyarakat dari sudut sosial selain daripada mempengaruhi alam bisnes.

(2) Pada hari ini, selain isu perniagaan dan ekonomi, semakin suburnya budaya dari negara-negara Timur seperti China, Korea, Jepun, dan selokasi dengannya. Budaya-budaya mereka ditiru oleh seluruh dunia hari ini.

Kalau dahulu kita tahu bahawa Barat membawa budaya kuning. Budaya ini meresap ke dalam masyarakat kita sehingga muncullah cara hidup Barat (style) dari sudut pakaian dan sebagainya.

(3) Contoh budaya mereka ialah Tik Tok. Sampai orang Arab pun gila nak Tik Tok. Budaya ini seolah-olah melambangkan globalisasi budaya China, atau yang seangkatan dengannya.

Menteri pun tak terlepas daripada pengaruh ini, kerana mungkin bajet nak tackle anak muda. Termasuk juga trending, artis, KPOP, dan segala macam unsur Hedonism era baru.

(4) Antara lain ialah lambakan kartun-kartun yang mempengaruhi kanak-kanak. Dragon Ball, Pokemon, Doremon, Digimon, One Piece, One Punch Man dan pelbagai lagi. Kalau dahulu kartun Barat dikenali dengan Mickey Mouse atau terbitan Disney.

Kita perlu memandang hal ini dari kaca mata seorang pemikir. Mereka yang ‘sudah biasa’ dengan globalisasi Barat, pastinya sudah faham dengan globalisasi China.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3620770417964692&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3471499596225109&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 11/4/2020

- Advertisement -