Polis tahan pelajar hina pasukan keselamatan

- Advertisement -

KANGAR: Seorang pelajar berusia 17 tahun, yang bertindak memuat naik videonya dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis akhirnya mengundang padah.

Pelajar berkenaan dicekup, kira-kira dua belas jam kemudian, selepas video tersebut tular di aplikasi Whatsapp.

Menurut sumber pada kejadian antara jam 3 hingga 3.30 petang Khamis lalu, suspek dalam satu rakaman video berdurasi 11 saat didapati mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘kepala bapak kau’ kepada anggota polis, yang sedang membuat hebahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Video berkenaan dirakam di hadapan rumah suspek di Kampung Teluk Batu Lima, Kuala Perlis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew suspek merupakan seorang pelajar kolej.

“Beliau adalah seorang pelajar kolej yang sepatutnya mempunyai pemikiran yang baik.

“Namun telah menunjukkan akhlak yang tidak baik dengan mengeluarkan kata-kata jelik seperti menghina apa yang pihak polis lakukan.

“Sedangkan apa yang kita buat sekarang untuk kebaikan bersama,” katanya pada sidang media di IPD hari ini.

Menurut Wari, suspek yang ditahan pada 4 pagi semalam, bagaimanapun gagal mendapat perintah tahanan reman.

Sungguhpun begitu, pihak polis akan mempercepatkan siasatan kes untuk segera dituduh di Mahkamah Majistret Kangar.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan palang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- HARAKAHDAILY 4/4/2020

- Advertisement -