Terima kasih Menteri – Peneroka FELDA

SELEPAS Terengganu, FELDA di Pahang juga menerima saluran sumbangan daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Advertisement

FELDA di Pahang antara FELDA terbesar dan sehingga kini ia sedang berkembang pesat melalui usaha daripada peneroka.

NGO GENERASI mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, di atas sumbangan dan cakna yang ditunjukkan.

Ini sememangnya dinanti-nantikan oleh warga peneroka dan ia sangat membantu meringankan bebanan mereka dalam tempoh PKP ini.

Sudah semestinya peneroka mengharapkan bantuan khas daripada kerajaan dan juga mengharapkan kerajaan kali ini boleh menumpukan masa depan peneroka di FELDA.

Pihak NGO GENERASI tidak bersendirian dalam kerja penyelarasan agihan sumbangan, turut bersama dengan kami ialah NGO Cakne Rakyat dan Abrar Care Malaysia menyerahkan sumbangan kepada peneroka melalui wakil peneroka atau pihak pengurusan FELDA.

Selain itu, gerak kerja memberi sumbangan ini mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada Jabatan Kebajikan dan kami mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Setakat ini kita sudah berjaya mengagihkan sumbangan di Felda Mempaga 1,2 & 3, Lurah Bilut, Sertik, Kemasul, Chemomoi, Kemahal, Jenderak Utara, Jenderak Selatan dan yang lainnya bakal menyusul lagi.

Berkat sumbangan yang diberikan sudah tentu ia memberi impak yang besar kerana belum tentu bekalan isi rumah dari peneroka mencukupi dalam tempoh ini dan kami juga sangat bimbang sekiranya gelombang ketiga berlaku menyebabkan cuti berlanjutan.

Sudah tentunya, peneroka tidaklah senang menyediakan bekalan isi rumah disebabkan kerja-kerja terpaksa dihentikan.

Sekali lagi, GENERASI mengucapkan Terima kasih kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali, FGV, dan seluruh pihak yang membantu bagi memastikan kelancaran sumbangan sampai ke sasaran dalam tempoh terdekat ini.

ROSLAN MD ESA
Naib Presiden GENERASI – HARAKAHDAILY 3/4/2020