Memperingati peristiwa agung Israk Mikraj

- Advertisement -

PERISTIWA Israk Mikraj merupakan peristiwa agung yang mengandungi pelbagai pengajaran besar bagi umat Islam sehingga hari kiamat. Israk Mikraj memperlihatkan bahawa kekuasaan Allah S.W.T yang Maha Berkuasa mengatasi peraturan kebiasaan alam ini sehinggakan perjalanan yang kebiasaannya memakan tempoh masa sebulan pergi dan sebulan pulang hanya berlaku dalam tempoh sebahagian malam sahaja.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِیۤ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَیۡلࣰا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِی بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِیَهُۥ مِنۡ ءَایَـٰتِنَاۤۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡبَصِیرُ
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(l-Isra’: 1)

Lebih ajaib lagi, peristiwa Mikraj menjadi bukti keagungan Allah S.W.T yang tiada tolok banding selama-lamanya walau manusia memiliki kecanggihan dan kemajuan dalam teknologi yang semakin berkembang dan maju kehadapan dari zaman ke zaman. Mustahil bagi manusia menandingi dan menyaingi kehebatan Allah S.W.T sama sekali untuk terjadinya penerokaan sehinga ke Sidratul Muntaha sebagaimana yang dilalui oleh Baginda S.A.W.

Firman Allah S.W.T :

وَلَقَدۡ رَءَاهُ نَزۡلَةً أُخۡرَىٰ * عِندَ سِدۡرَةِ ٱلۡمُنتَهَىٰ * عِندَهَا جَنَّةُ ٱلۡمَأۡوَىٰۤ * إِذۡ یَغۡشَى ٱلسِّدۡرَةَ مَا یَغۡشَىٰ * مَا زَاغَ ٱلۡبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ * لَقَدۡ رَأَىٰ مِنۡ ءَایَـٰتِ رَبِّهِ ٱلۡكُبۡرَىٰۤ
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi “Sidratul-Muntaha”, Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.”
(an-Najm: 13-18)

Nilai pengajaran ini menunjukkan betapa manusia tidak boleh lagi dari sebarang kekuasaan Allah SWT yang mengurus dan mentadbir alam ini atas kehendak-Nya. Manusia perlu akur dengan ketetapan Allah SWT dengan cara mengabdikan diri kepada-Nya dan terus bergantung harap kepada-Nya. Manusia hanyalah hamba yang dipertanggungjawab untuk meneroka dan mengurus alam sedangkan Allah S.W.T adalah pencipta dan pemilik alam ini.

Firman Allah S.W.T:

۞ ٱللَّهُ ٱلَّذِی سَخَّرَ لَكُمُ ٱلۡبَحۡرَ لِتَجۡرِیَ ٱلۡفُلۡكُ فِیهِ بِأَمۡرِهِۦ وَلِتَبۡتَغُوا۟ مِن فَضۡلِهِۦ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ * وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَمَا فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا مِّنۡهُۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَتَفَكَّرُونَ
“Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur. Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.”
(al-Jathiya: 12-13)

Sehubungan itu, apa sahaja yang berlaku pada alam ini dan kehidupan manusia tidak boleh elak dari memohon bantuan kepada Allah SWT secara terus menerus kerana Allah S.W.T sahajalah yang mewujudkan dan meniadakan. Dia yang memberikan sesuatu dan mengambilnya sesuatu itu kembali. Disebabkan itu, tatkala Baginda S.A.W berhadapan dengan tekanan yang besar iaitu pada tahun kesedihan dengan kewafatan Sayidatina Khadijah, isteri Baginda S.A.W serta kematian Abu Talib ditambah lagi penolakan secara keras oleh penduduk Taif, maka atas kehendak Allah S.W.T berlakulah peristiwa agung ini bagi menghadiahkan Baginda S.A.W dan umatnya akan pensyariatan solat fardhu 5 waktu sehari semalam.

Huzaifah meriwayatkan bahawa:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ، صَلَّى
“Adalah Nabi S.A.W jika terdapat urusan yang sukar, Baginda S.A.W akan solat.”
(Riwayat Abu Daud)

DUPP mengambil peluang sempena tarikh 27 Rejab bagi memperingati peristiwa agung Israk Mikraj ini dalam suasana kita berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 yang telah mengakibatkan lebih 1000 kes dan 8 kematian yang dicatatkan untuk kita semua kembali bermuhasabah agar memperbaiki hubungan kita dengan Allah dalam masa yang sama terus bersabar serta mengikut arahan kerajaan dari masa ke semasa sebagai ikhtiar wajib seorang manusia.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
(al-Baqarah: 153)

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 22/3/2020

- Advertisement -