Tangguh dulu kenduri kahwin: PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati rakyatnya agar menangguhkan dahulu perancangan untuk meneruskan majlis perkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan.

Katanya, beliau maklum berkenaan majlis perkahwinan yang bersusun apatah lagi ketika ini musim cuti sekolah.

Namun, beliau berharap agar rakyat mengambil inisiatif menanguhkan majlis dan hanya meneruskan akad nikah sahaja sepanjang tempoh ini.

“Ibubapa pengantin, saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar yang sedang kita hadapi ini.

- Advertisement -

“Jangan malu, jangan segan. Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah Covid-19.

“Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu,” katanya ketika memberi ucapan dalam Perutusan Khas Perdana Menteri pada hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan, Rabu lalu.

Beliau dalam ucapannya merayu agar rakyat Malaysia mematuhi arahan yang diterapkan kerajaan bagi mengelakkan wabak berjangkit Covid-19 dapat dibendung daripada terus memburu mangsa seterusnya.

Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakkan dengan mengambil kira Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac.

Katanya, perkara ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, tetapi amat penting untuk dipatuhi dan setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Prinsipnya mudah sahaja. Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diam-diam di rumah, nampak mudah dan remeh. Tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita,” ujar beliau.- HARAKADAILY 20/3/2020

- Advertisement -