PAS berakar umbi dengan pendidikan

- Advertisement -

KAMPAR: Sektor pendidikan akan sentiasa diperkasakan kelangsungannya oleh PAS sama ada ketika meniti di puncak kuasa mahupun ketika tidak menerajui kuasa pemerintahan sekalipun.

- Advertisement -

Apatah lagi PAS merupakan parti yang berakar umbi dengan pendidikan di mana buktinya majoriti daripada pimpinan PAS hari ini merupakan pendidik dan mengusahakan institusi pendidikan sendiri.

Bahkan, kebanyakan negeri yang subur dengan institusi pendidikan dibawa oleh PAS seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, aktif melahirkan kader-kader baharu untuk mewarisi perjuangan.

Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Roslan Md Esa menyeru Pemuda PAS memperkasakan institusi pendidikan yang sedia ada seperti PASTI dan SRITI agar nukleus perjuangan Islam dapat disemai dengan baik.

Pandangan itu dikemukakan beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar Ke-22 bertempat di Markas Tarbiyyah PAS Kampar di sini kelmarin dahulu.

Beliau juga memuji usaha Pemuda PAS Kampar mengusahakan Pengurusan PASTI Bersepadu selain pencapaian merangkul Anugerah 3K PASTI Terbaik Malaysia tahun lepas.

Selain itu, beliau juga menasihati hadirin melazimi program tarbiyah seperti usrah dan Liqa’ Fikri dan tidak meminggirkan aspek tarbiyah terutamanya pasca kemenangan ketika ini.

Manakala Ketua Pemuda PAS Kampar, Muhd Shahrizan Ahmad Fuat dalam ucapannya telah membawa surah Ali Imran ayat 26 berkait dengan pemerintahan sekali gus mengangkat Mesyuarat Agung Tahunan dengan tema “Sedia Memerintah”.

Program ini turut diserikan dengan pelancaran Alternative Cycling Club (ACC) disempurnakan oleh Ustaz Roslan sebagai wadah untuk menarik anak muda yang meminati sukan berbasikal.

Turut hadir dalam program ini adalah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Hamid Alang dan Naib Ketua Umno Bahagian Kampar, Fakhrul Razi Mokhtar. – HARAKAHDAILY 17/3/2020

- Advertisement -