Jangan degil, patuhi arahan kementerian

- Advertisement -

IKUT arahan pihak berkuasa, kurangkan aktiviti tempat awam, abaikan promosi pelancongan.

Keputusan kerajaan untuk mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan nyata menggegarkan seluruh Malaysia apabila hampir separuh daripada rakyatnya diserang pembelian panik sehinggakan timbul lagi satu masalah lain yang perlu diperhalusi.

Keputusan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri itu dibuat dengan megambil kira Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) dan Akta Polis (1967) berkuatkuasa pada Rabu, 18 Mac sehingga 31 Mac diseluruh negara.

Malangnya, penguatkuasaan tersebut telah menyebabkan pembelian panik atau ‘panic buying‘ yang mana mengundang kepada ‘mass gathering‘ atau perhimpunan ramai di pasar raya di beberapa lokasi.

- Advertisement -

Walaupun pembelian panik ini sudah dijangka, rakyat sepatutnya meneliti dan memahami arahan pihak berkuasa supaya kes melibatkan wabak jangkitan Covid-19 dapat dibendung daripada meningkat secara mendadak seperti yang berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mengenai Covid-19 pada Isnin menegaskan supaya rakyat jangan panik, jangan cemas serta diminta bertenang.

Malah, beliau turut menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk seluruh rakyat selain tiada penutupan kedai runcit, pasaraya dan beberapa prasarana penting.

Namun, segelintir rakyat yang mengaktifkan pembelian panik telah menyebabakn ramai orang lain yang pada awalnya bertenang, turut menjadi panik dan melakukan hal sama.

Fahamilah arahan kerajaan, Rakyat masih boleh keluar membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan langkah-langkah pencegahan yang disarankan seperti kerap membasuh tangan, memelihara jarak sosial, tidak bersalaman dan berhati-hati dengan apa yang disentuh dan apa yang dimasukkan kedalam mulut.

Pembelian panik ini juga dikhuatiri hanya akan menyebabkan pihak-pihak tertentu memanipulasi harga barangan dengan peningkatan harga secara mendadak dan tidak masuk akal.

Malah, tular beberapa keping foto menunjukkan ada pihak yang membasuh semula penutup muka dan menjualnya kepada pengguna, ia tentunya bukan sesuatu yang pengguna mahukan.

Lebih mengejutkan, terdapat pihak yang berani mengambil kesempatan ini untuk menipu rakyat-rakyat yang panik kononnya menjalankan program vaksin Covid-19. Jadi, hentikan segala tindakan panik yang tidak menguntungkan rakyat ini.

Perintah Kawalan Pergerakan bukanlan Perintah Berkurung, rakyat masih boleh melakukan pergerakan bebas, cumanya rakyat diminta mengawal pergerakan agar tidak menghadiri mana-mana perhimpunan ramai.

Oleh itu, kerajaan telah mengeluarkan beberapa panduan untuk dipatuhi rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup.

Kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Bagaimana pula dengan musim sekolah ini yang pastinya jadual kenduri kahwin, tahlil, arwah, dan akikah tersusun?Jawapannya adalah tidak, perhimpunan yang melebihi 50 orang adalah dilarang dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun.

Pengamal perubatan, doktor-dotor yang menjadi barisan hadapan dan juga benteng dalam menghadapi serangan Covid-19 ini pastinya sudah keletihan tanpa rehat yang cukup, usah ditambah dengan kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri yang menambah beban kepada orang lain.

Tangguhkan semua perancangan untuk bercuti kemana-mana sahaja buat sementara waktu, usah dianggap ini seperti percutian yang jatuh ke riba, kawal pergerakan, elakkan keluar rumah dan saling menjaga ahli keluarga yang lain.

Sayangilah nyawa diri dan keluarga, fikir kesan yang akan berlaku dan kesusahan yang akan dibawa sekiranya kita berdegil.

Suka untuk diingatkan supaya rakyat Malaysia tidak harus panik dan tabayyun setiap berita yang sampai. Cetusan panik, huru-hara yang dicetuskandi media sosial sedikit-sebanyak memberi impak keapda kehidupan seharian dan mentaliti pembaca.

Pastikan berita yang diterima sahih kemudian baru sebar untuk kebaikan sejagat, menjadi punca kepada cetusan panik orang lain bukan sesuatu yang bagus dan sesuai untuk dibanggakan.- HARAKAHDAILY 17/3/2020

- Advertisement -