Selesai segera kemelut politik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan mengharapkan suasana politik negara yang meruncing segera diselesaikan.

Katanya, penyelesaian mestilah selari dengan keluhuran perlembagaan.

“Telah tiba masanya kita menyerahkan kepada kearifan Yang Di Pertuan Agong (YDPA), seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memberikan jalan keluar dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia.

“Parlimen Malaysia bukan forum untuk melantik PM (Perdana Menteri),” katanya menerusi hantaran Facebook.

Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Rantau itu meminta supaya semua pihak harus menghormati kearifan YDPA dan tidak mendahului Tuanku dalam apa jua keadaan pun.

“Insyallah kebijaksanaan baginda akan kita jadikan pedoman dalam perkara ini,” ujarnya lagi.

- Advertisement -

Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan parlimen akan bersidang pada 2 Mac selepas Yang di-Pertuan Agong apabila mendapati tiada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataan hari ini, berkata surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat yang ditandatangani perdana menteri interim tidak mengikut peraturan.

Menurutnya, surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) atas sebab ia tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

Beliau pada masa sama turut menyatakan pandangannya bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sehinggalah mendapat Pemakluman titah rasmi daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan Perdana Menteri.– HARAKAHDAILY 28/2/2020

- Advertisement -