Tanda kiamat: ‘Dukhan’ dan wabak selesema

- Advertisement -

DUNIA hari ini

(1) Hari ini kita menyaksikan seolah-olah kiamat itu benar-benar sedang berjalan di atas tracknya. Sebelum ini saya ada menceritakan mengenai pemanasan global. [1]

Kebakaran di Benua Afrika dan Australia pada tahun lepas menyebabkan banyak negara diselubungi kesuraman, dan kegelapan asap.

(2) Selepas daripada asap yang menyelubungi itu, mula tersebarnya fenomena Virus Corona yang mengganggu pernafasan, selesema dan boleh membawa maut.

Perjalanan yang rencam ini seolah-olah sama sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W mengenai fenomena akhir zaman di dalam hadis-hadisnya.

(3) Antaranya yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.A yang mengatakan;

- Advertisement -


يخرج الدخان، فيأخذ المؤمن كهيئة الزكمة، ويدخل في مسامع الكافر والمنافق، حتى يكون كالرأس الحنيذ

Akan keluar Dukhan, lalu orang mukmin terkena kesannya, hingga seperti orang yang selesema. Lalu asap ini masuk ke telinga orang kafir dan munafik, sehingga kepala mereka seperti kepala binatang panggang.”

(Tafsir Thabari dan Tafsir Ibn Kathir)


(4) Tidak dinafikan maksud ad-Dukhan yang terdapat di dalam al-Quran diperselisihkan maksudnya. Contohnya apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim mengenai penafsiran Abdullah Ibn Mas’ud.

Dan perkara ini telah dijernihkan antaranya oleh Imam Ibn Hajar al-Asqolani di dalam Fathul Bari. Saya tak berniat untuk panjangkan perbahasan mengenai perselisihan ini.

Dukhan dan selesema

(1) Apa yang disebutkan oleh para Ulamak bahawa wabak selesema yang melanda Umat Islam ketika itu, dimulai dengan asap yang disebut sebagai Dukhan dalam Bahasa Arab.

(2) Asap tersebut telah menyebabkan Umat Islam mengalami selesema, manakala orang kafir dalam situasi kemabukan. Antaranya Riwayat Saidina Huzaifah yang dinukilkan di dalam Tafsir al-Baghawi;


یَوۡمَ تَأۡتِی ٱلسَّمَاۤءُ بِدُخَانࣲ مُّبِینࣲ

“… Semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat).”

يملأ ما بين المشرق والمغرب يمكث أربعين يوما وليلة ، أما المؤمن فيصيبه منه كهيئة الزكام ، وأما الكافر فكمنزلة السكران يخرج من منخرية وأذنيه ودبره

“Asap dukhan akan menyelubungi Timur dan Barat, selama 40 hari. Orang beriman akan mengalami situasi seperti selesema, manakala orang kafir seperti tahap mabuk, ia keluar daripada lubang hidung, telinga dan duburnya.”


(3) Kebakaran di Afrika menyelubungi di sebelah Barat, manakala Australia menyelubungi di bahagian Timur. WaLlahuaklam. Kelihatan sepertimana yang digambarkan di dalam riwayat tadi.

(4) Kita boleh gambarkan suasana orang Islam yang terkena wabak selesema, tetapi kita tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan situasi orang kafir yang digambarkan tadi.

Orang kafir yang digambarkan mabuk itu mungkinkah dimaksudkan dengan ketagihan? Dan adakah boleh dikaitkan dengan rokok? WaLlahuaklam.

Peringatan Nabi S.A.W

(1) Imam Ibn Hajar al-Asqolani meriwayatkan lagi di sana ada hadis yang lebih elok periwayatannya, yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Asy’ariy;


إن ربكم أنذركم ثلاثاً: الدخان؛ يأخذ المؤمن كالزكمة، ويأخذ الكافر فينتفخ حتى يخرج من كل مسمع منه، والثانية الدابة، والثالثة الدجال

“Sesungguhnya Tuhanmu memberi amaran mengenai tiga perkara; Dukhan (asap) yang akan memberi kesan kepada orang beriman seperti wabak selesema, manakala orang kafir akan bernafas dengannya dan keluar melalui saluran pendengaran. Kedua Dabbah, dan ketiga adalah Dajal.”


Ia diriwayatkan oleh Imam Thabari dalam tafsirnya, At-Tabrani dan Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya. Manakala sanadnya jayyid جيد. Manakala riwayat daripada Saidina Huzaifah tadi sanadnya dha’if mengikut Ibn Hajar al-Asqolani.

(2) Apa yang menjadi tanda tanya ialah, apakah Virus Corona itu merupakan satu wabak yang digambarkan oleh hadis-hadis Nabi berkenaan ad-Dukhan?

Adakah Dukhan itu boleh dikaitkan dengan rokok? WaLlahuaklam, hakikatnya hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Manakala Ibn Mas’ud R.A menggambarkan bahawa Dukhan itu adalah khayalan.

(a) Iaitu khayalan disebabkan kelaparan dan kebuluran yang teramat sangat. Ibn Mas’ud antara yang menafsirkan Dukhan itu sepertimana yang pernah terjadi satu ketika dahulu.

(b) Hal ini telah dinukilkan juga oleh Imam Ibn Hajar al-Asqolani dalam Kitab Fathul Bari. Ringkasnya beliau menafsirkan Dukhan itu sebagai gambaran suasana kelaparan dan kebuluran yang amat sangat.

Khayalan disebabkan kekeringan

(1) Apa yang ditafsirkan oleh Ibn Mas’ud tersebut menggambarkan suasana akhir zaman yang dilanda dengan kemarau. Suasana ini seolah-olah ‘sedang menanti kita’;


عَنْ أَبِى أُمَامَةَ الْبَاهِلِىِّ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَكَانَ أَكْثَرُ خُطْبَتِهِ حَدِيثًا حَدَّثَنَاهُ عَنِ الدَّجَّالِ وَحَذَّرَنَاهُ فَكَانَ مِنْ قَوْلِهِ أَنْ قَالَ : وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنْ يَأْمُرَ السَّمَاءَ أَنْ تُمْطِرَ فَتُمْطِرَ وَيَأْمُرَ الأَرْضَ أَنْ تُنْبِتَ فَتُنْبِتَ وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنْ يَمُرَّ بِالْحَيِّ فَيُكَذِّبُونَهُ فَلا تَبْقَى لَهُمْ سَائِمَةٌ إِلا هَلَكَتْ وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنْ يَمُرَّ بِالْحَيِّ فَيُصَدِّقُونَهُ فَيَأْمُرَ السَّمَاءَ أَنْ تُمْطِرَ فَتُمْطِرَ وَيَأْمُرَ الأَرْضَ أَنْ تُنْبِتَ فَتُنْبِتَ

“Daripada Abi Umamah al Bahili R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W berucap di hadapan kami. Kebanyakan ucapannya menyebut mengenai Dajal, dan meminta kami berjaga-jaga… di antara yang disebut:

“Di antara fitnahnya ialah apabila Dajal menyuruh langit supaya menurunkan hujan, maka turunlah hujan. Apabila dia menyuruh tanah supaya menumbuhkan hasilnya, maka tumbuhlah tumbuhan.


“Di antara fitnahnya juga ialah apabila dia mengunjungi manusia yang hidup dan manusia tersebut mendustakannya, maka tiadalah yang tinggal padanya, semuanya musnah.

“Di antara fitnahnya juga ialah apabila dia mengunjungi orang yang lain, lalu orang tersebut beriman dengannya, maka dia akan menyuruh langit menurunkan hujan lalu turunlah hujan serta-merta dan menyuruh tanah di situ supaya menumbuhkan tanaman, lalu tumbuhlah tanaman”


(2) Hadis ini menggambarkan kebolehan Dajal yang mampu mengawal cuaca. Sama ada benar-benar mengawal cuaca, ataupun hanya sekadar silap mata (sihir).

Hakikat peristiwa akhir zaman hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Kita diminta untuk bersedia berhadapan dengan situasi akhir zaman yang penuh rencam ini.

Pemanasan global

(1) Sepertimana yang saya nyatakan dalam artikel lalu bahawa kajian menunjukkan paras air laut akan meningkat, dan paling menyeramkan pada 2050. [1]

(a) Tindakan yang diambil oleh Amerika ialah dengan membeli Greenland sepertimana yang telah saya nyatakan dalam artikel tersebut. Tak pasti sama ada ia menjadi sebab atau tidak.

(b) Di Indonesia pula bersedia dengan mengalihkan pusat pemerintahan Indonesia ke Kalimantan Timur [2]. Antara alasan yang dilihat ialah Jakarta sedang mengalami mendapan.

Kawasan Kalimatan Timur dilihat lebih tinggi berbanding Jakarta yang kerap juga mengalami bencana alam. Apatah lagi pada hari ini Jakarta sedang dilanda banjir. [3]

(c) Kalau dalam kajian yang saya siarkan sebelum ini, Pulau Pinang dijangka terjejas teruk akibat peningkatan paras air laut. Manakala Alor Setar hanya tinggal sebagai sebuah pulau. [4]

Seolah-olah usaha terbaru Tun M untuk membina lapangan terbang yang baru di Kulim yang berada di kawasan Selat, sebagai satu persediaan ke arah itu. [5]

(2) Sekiranya dirujuk kepada Hadis Nabi S.A.W yang saya nukilkan di atas, apabila hujan berkurangan, maka paras air tawar seperti sungai dan tasik akan merosot.

Manakala paras air laut akan meningkat. Sebab itulah tak pelik kalau tanda-tanda akhir zaman yang pernah saya sebutkan sebelum ini [6] melibatkan tasik dan sungai yang semakin surut.

Antara yang disebutkan ialah Sungai Euphrates, Tasik Galilee, Mata Air Zughar di Palestin dan sebagainya. Tambahan pula apabila cuaca semakin panas, salji di kutub juga akan mencair.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3379377088770694&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3134002149974857&id=100000953077134

[3] https://www.detik.com/tag/banjir-jakarta-2020?tag_from=banjir-jakarta

[4] https://odisi.my/bandar-utama-9-negeri-di-malaysia-dijangka-bakal-tenggelam-menjelang-2050/

[5] https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/08/28/kulim-airport-to-have-two-runways

[6] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1312070245653112&id=251201991739948

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/2/2020

- Advertisement -