Konflik Israel-Palestin: Tolak solusi dua negara

- Advertisement -

BEBERAPA hari lepas, Presiden US dan Perdana Menteri Israel telah mengemukakan suatu pelan damai kononnya bagi penyelesaian konflik dua hala Palestin dan Israel.

Mereka menyifatkan pelan damai tersebut sebagai suatu pelan paling hebat, sempurna dan mampu menyelesaikan segala kekusutan yang menghantui perdamaian Arab-Israel di Timur Tengah selama ini.

Namun, hakikatnya pelan damai tersebut hanyalah indah khabar dari rupa. Ia tidak lain permainan wayang yang diulang-ulang oleh negara haram Israel dengan bantuan sekutunya, US dan mustahil untuk menjadi jalan keluar sebenar kepada kemelut panjang yang berlaku di sana.

Bahkan, asasnya pelan damai yang dibentangkan hanyalah demi membina dan mengukuhkan kembali laluan bagi menghalalkan penjarahan dan kezaliman berpanjangan pihak berkuasa Israel terhadap umat Islam di Palestin.

Di sebalik pelan tersebut, mereka terus memperkukuhkan cengkaman negara haram Israel ke atas bumi Palestin, dengan pengiktirafan Jerusalem sebagai ibu negara Israel yang turut menjadi pendirian rasmi US seperti mana yang pernah disuarakan oleh Presiden Donald Trump pada 2017. Masyarakat dunia telah pun menyatakan bantahan keras terhadap pendirian tersebut yang nyata akan menambahkan lagi ketegangan di bumi suci Palestin tersebut.

Umat Islam sayugia diingatkan bahawa Israel tidak boleh sesekali diiktiraf sebagai sebuah negara yang berdaulat. Negara Israel yang dibina melalui rampasan tanah dan penjajahan terancang oleh bangsa Yahudi dan dunia barat hampir seabad yang lalu ke atas bumi Palestin mestilah dinyahkan dan dalam masa yang sama, hak rakyat Palestin mestilah dikembalikan melalui kedaulatan negara Palestin.

Justeru penyelesaian dua negara (two state solution) tidak mungkin boleh berlaku. Perompak tiada hak untuk dirundingi bagi memiliki apa-apa pun selain dikembalikan hak kepada tuan asalnya. Sewajarnya pada saat ini, Palestin selayaknya diiktiraf dan diterima sebagai sebuah negara yang sah oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Apa yang dikesalkan, Palestin hanya memperoleh status negara pemerhati di PBB sejak sekian lama, tanpa mengambil kira faktor wilayahnya telah diceroboh dan dijajah secara haram oleh Israel.

Oleh itu saya menggesa pihak Kerajaan supaya mengeluarkan pendirian segera yang tegas terhadap pelan damai baru yang berat sebelah, malah tidak memberi sebarang makna tersebut. Malah, Kerajaan juga wajar mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar turut membantah cadangan pelan damai yang dikemukakan oleh US dan Israel.

Dengan pelan damai baru yang jelas dan berterusan meminggirkan hak umat Islam ke atas bumi al Aqsa, umat Islam seharusnya segera sedar bahawa memberi kepercayaan kepada negara US untuk menjadi orang besar bagi mewujudkan perdamaian di bumi Palestin adalah satu jenayah dan dosa kepada agama Islam.

Tiada kekuatan bagi pembebasan bumi Palestin daripada Yahudi Zionis selain pemupukan jalinan persaudaraan, kasih sayang dan kesatuan umat yang mesti diusahakan dengan sesungguhnya.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok
31 Januari 2020 bersamaan 6 Jamadil Akhir 1441H – HARAKAHDAILY 31/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -