SMITI pertama Perak: PAS Parit lakar sejarah

    - Advertisement -

    PARIT: Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit komited menjayakan agenda pendidikan peringkat menengah apabila mewujudkan SMITI At-Ta’alim selepas adanya 17 PASTI dan SRITI At-Ta’alim yang telah sedia beroperasi.

    - Advertisement -

    Lokasi SMITI yang terletak di Bandar Universiti ini akan mula beroperasi pada tahun hadapan di mana telah membuka pendaftaran kepada pelajar Tingkatan 1 sebagai kelompok yang pertama.

    Majlis Perasmian SMITI At-Ta’alim ini telah disempurnakan Ketua Pemuda PAS Malaysia, iaitu Ir Khairil Nizam Khirudin dan juga turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait di Seri Iskandar, di sini kelmarin dahulu. 

    Hadir sama Ketua Pengarah SMITI Malaysia, Hashan Aladi Ahmad dan Pengarah SMITI Perak, Dr Khalid Mat serta Timbalan Yang Dipertua PAS Parit, Zawawi Ghazali dan Ketua Pemuda PAS Parit, Mohd Zahid Abu Bakar serta Pengerusi SMITI Parit, Mohd Kamal Hamidi Mohd Nasir.

    Dalam majlis perasmian ini, Ir Khairil menegaskan mengenai impian Pemuda PAS dalam memastikan pendidikan dijadikan agenda utama generasi akan datang menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

    Di samping itu, beliau juga berharap menerusi institusi ini selaku antara produk pendidikan PAS, akan meningkatkan keazaman memperbaiki nilai-nilai adab yang kian luntur dalam remaja masa kini.

    Dalam majlis bersejarah ini juga, beliau menyatakan komitmen bahawa SMITI akan memberikan kualiti pendidikan terbaik dan mampu berdaya saing dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sebagainya.

    Dengan motto ‘Membina Generasi Islam Rabbani’, SMITI menawarkan lima aliran pilihan iaitu, SMITI Aliran Al-Quran dan Hadith, SMITI Aliran Turath, SMITI Aliran Sains, SMITI Aliran TVET, dan SMITI Harian. – HARAKAHDAILY 17/12/2019

    - Advertisement -