Lulus RM10,000 bina semula surau dibadai ombak

    - Advertisement -

    KEMAMAN: Kerajaan PAS Negeri Terengganu mengeluarkan peruntukan segera RM10,000 bagi membina semula surau kegunaan nelayan yang musnah dibadai ombak besar dalam kejadian Sabtu lalu di Kampung Tanjung Pantai, Kemasik, di sini.

    - Advertisement -

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk surau itu dibina segera melalui usaha gotong-royong nelayan dan penduduk kampung.

    “Terpulanglah kepada MPKK di sini bila hendak buat, dan saya harap mereka bina secepat mungkin, kalau boleh minggu depan ‘start’ (mula). Peruntukan kita sediakan kerana surau merupakan tempat para nelayan menunaikan kewajipan bersolat sebelum turun ke laut atau pulang,” ujar beliau.

    Hanafiah juga memberitahu, projek pemuliharaan sedang diusahakan kerajaan meliputi pembinaan struktur pemecah ombak, penambakan pasir pantai, perlindungan tebing dan mendalamkan muara bernilai RM5.2 juta dan dijangka siap pada bulan Mac depan.

    Masalah tersebut turut disuarakan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pekan Kemasik, Yusof Mohamad yang ditemui ketika kunjungan Hanafiah, semalam.

    Maklumnya, hempasan ombak setinggi 4 meter berikutan fenomena pasang besar dan angin kencang sejak seminggu lalu mengakibatkan kawasan tersebut mengalami hakisan teruk sekali gus menjejaskan kira-kira 200 nelayan yang mendarat hasil tangkapan di situ.

    “Tebing pantai sejauh 100 meter runtuh menyebabkan bangsal pendaratan nelayan, kedai Koperasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik dan sebuah rumah turut rosak,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2019

    - Advertisement -