100 mohon sertai PAS di Pasir Mas setiap bulan

    Rozi menyertai gotong royong membersih rumah penduduk di Tendong.

    PASIR MAS: Sehingga sekarang sudah berkali-kali Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu mendakwa semakin ramai bekas ahli PAS menyertai parti itu di Kelantan terutamanya di Pasir Mas.

    Advertisement

    Namun kata Ketua Penerangan PAS Pasir Mas, Rozi Muhamad, dakwaan itu tidak disandarkan kepada bukti yang menggambarkan kononnya ramai ahli PAS menyertai PAN.

    “Seingat kami sehingga sekarang tiada cawangan PAS yang dibubar di Pasir Mas. Jadi kami meminta Presiden PAN membuktikan ramai ahli PAS sertai menyertai parti serpihan tersebut.

    “Dakwaan itu sudah acap kali disebut pemimpin terbabit terutamanya setiap kali datang ke Kelantan,” katanya di sini.

    Pada konvensyen PAN Ahad lepas Mohamad dilapor mendakwa ahli PAN paling ramai di Kelantan terutamanya di Pasir Mas.

    Menurutnya semakin ramai ahli PAS tidak dapat menerima parti itu bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

    Rozi yang juga Adun Tendong berkata, di sebalik dakwaan pemimpin PAN terbabit, PAS Pasir Mas menerima hampir 100 permohonan baharu setiap bulan. – HARAKAHDAILY 9/12/2019