Libya-Failed State: Harapan atau perancangan

- Advertisement -

BARAT pencetus konflik

Sebelum ini saya pernah menulis tentang konflik yang parah di Libya. Sebagai muqaddimahnya, saya pernah menceritakan tentang perancangan Barat untuk menghuru-harakan Libya.

(1)     Pada 2013 Robin Wright telah melakar satu perancangan untuk mengerat Libya menjadi tiga bahagian. Iaitu pasca Arab Spring yang menyaksikan pembunuhan Muammar Gaddafi.

Konflik di Libya sangat dahsyat dan berselirat. Kuasa-kuasa besar dunia gelojoh untuk merebut kepentingan menguasai dibiar termasuk kepala pengganas iaitu Amerika.

(2)     Ketika tercetusnya konflik di Libya 2011, kita boleh saksikan bagaimana penglibatan banyak kuasa dunia dalam konflik tersebut. Masing-masing memberi alasan bodoh.

Iaitu nak melindungi orang awam. Hakikatnya mereka nak membunuh Ghaddafi yang dilihat ‘mengacau’ pelan Amerika dan Israel. Propaganda dicipta.

(3)     Hasilnya, menimbulkan kemarahan rakyat terhadap jenayah jenayah Ghaddafi yang diungkit. Ditambah dengan perisa ‘perang proksi’ yang ditaja oleh kuasa luar yang tamak.

(4)     Pertembungan antara Blok National Transitional Council (NTC) bertembung dengan Blok Libyan Arab Jamahiriya (LAJ) yang merupakan perang proksi.

NTC menggabungkan National Liberation Army dan Libyan Islamic Fighting Group merupakan tajaan kuasa luar. Manakala LAJ  terdiri daripada Libyan Armed Forces yang mempertahankan Ghadafi

Pertembungan berselirat

(1)     Antara kuasa luar yang terlibat dalam tajaan untuk menyerang Ghadafi ialah Qatar, Mesir, Perancis, Moldova dan Switzerland serta sokongan NATO.

Setelah kejatuhan Ghadafi, adakah mereka aman? Tidak juga. Konflik berterusan dengan corak baru, bermula era 2014, hinggalah ke hari ini.

Konflik dikatakan bermula apabila Kerajaan House of Representatives (HoR) didakwa dipilih secara tidak adil. Huru-hara tercetus sekali lagi.

(2)     Sejak 2014 negara ini telah dibahagikan kepada puak-puak politik dan tentera yang bersaing. Satu di Timur, yang disokong oleh General Haftar dan Parlimen yang didakwa dipilih secara tak sah.

Manakala yang satu lagi berpusat di Tripoli (Barat) dan diiktiraf oleh PBB. Haftar mengawal bahagian minyak di Timur dan Selatan Libya.

(3)     General Haftar dilihat sebagai orang yang paling berkuasa dalam konflik ini. Dibimbangi beliau mendapat latihan CIA. Tetapi realitinya perlu ditimbangi

(4)     2014 juga merupakan tempoh kekacauan di Libya yang semakin meruncing hinggalah ke hari ini. Kekacauan yang berselirat ini menyebabkan rakyat terkorban sana sini.

(5)     Hari ini konflik bertembung empat blok, iaitu;

a-      House of Representatives (HoR) sejak 2014,

b-     Government of National Accord (GNA) sejak 2016,

c-     National Salvation Government sejak  2014 hingga 2017

d-     Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) sejak 2014.

Libya yang dikerat

(1)     Pertubuhan pertubuhan yang disenaraikan tadi merupakan proksi kepada kuasa-kuasa besar.

a-     Contohnya HoR asalnya disokong oleh Amerika, Mesir, UAE, Perancis, Rusia, Arab Saudi, Chad, UK, Jordan dan lain-lain.

b-     GNA pula disokong oleh Amerika sejak 2016, UK sejak 2016, Itali, Jerman, Kesatuan Eropah, Qatar, Turki, Jordan (16-18) dan yang terbaru Ukraine.

c-     NSG pula antara 2014-16 disokong oleh Qatar, Sudan dan Turki.

d-     Seterusnya ISIL yang hakikatnya adalah kumpulan tajaan Amerika sendiri.

(2)     General Haftar yang menguasai sebahagian besar Libya merupakan pimpinan bagi Libyan National Army (LNA) yang merupakan sekutu HoR.

PBB dan Amerika yang bersama GNA sejak 2016 hanya menguasai beberapa kawasan sahaja. Seolah-olah Libya sedang berjalan ke arah kehancuran yang dirancang dalam Yinon Plan 1982

(3)     Yinon menyeru pembubaran Mesir, Sudan, Libya, dan seluruh wilayahnya. Manakala Robin Wright yang saya sebutkan di awal tadi, melakar New Middle East 2013.

NME pasca Arab Spring merancang supaya Libya dikerat menjadi 3, iaitu

a-     Fezzan

b-     Tripolitania

c-     Cyrenaica.

Reputasi terburuk Obama

(1)     Dalam satu temubual pada 11 April 2016 yang disiarkan oleh BBC menyiarkan kenyataan Obama yang menganggap konflik di Libya merupakan reputasi terburuk dalam pemerintahannya.

a-     Beliau berkata bahawa beliau gagal untuk mempersiapkan diri selepas penyingkiran pemimpin Libya, Col Muammar Gaddafi yang dibunuh pada Oktober 2011.

b-     Beliau menyebut tentang perihal Libya ketika wartawan bertanya tentang reputasi terbaik dan terburuk dalam pemerintahannya. Beliau menganggap konflik di Libya adalah yang terburuk.

(2)     Namun katanya, tindakan Amerika campur tangan itu adalah tindakan yang terbaik. Amerika dan negara-negara lain turut meng‘create’ protest Arab Spring 2011.

a-     Katanya ia bertujuan untuk melindungi orang awam semasa konflik tersebut. Apa yang pelik, mereka tidak anggap perang proksi di Libya itu satu jenayah.

Tetapi, mereka menganggap krisis pasca penggulingan Gaddafi adalah reputasi yang buruk bagi Amerika. Bahkan penggulingan Gaddafi tidak menguntungkan Amerika pun.

b-     Ini kerana suasana di Libya semakin memburuk di hujung zaman Obama, sehinggalah hari ini. Campur tangan bukannya selesaikan masalah, tapi lebih menjahanamkan.

(3)     Apabila ditanya oleh wartawan tentang prestasi buruknya di Libya, Obama menjawab ringkas;

“Mungkin gagal untuk merancang hari demi hari, apa yang saya fikir adalah perkara yang betul untuk dilakukan, semasa campur tangan di Libya”

Era Donald Trump

(1)     Antara yang terbaru, Defense One menyiarkan berita pada 21 November 2019 tentang penglibatan Donald Trump dalam konflik di Libya, di bawah tajuk;

‘Trump Officials Meet With Libyan Politician Aligned With Opposition ‘Strongman’ In Potential Policy Shift’

(2)     Pegawai pentadbiran Trump telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pimpinan politik Libya baru-baru ini. Apa strateginya tak pasti.

Tindakan ini dilihat selari dengan pergerakan pembangkang yang memerangi Kerajaan Libya yang disokong oleh Amerika di Tripoli. Seolah-olah sedang memikirkan semula dasar Libya.

Secara rasmi, Amerika Syarikat menyokong UN-negotiated Government of National Accord yang turut dipersetujui oleh GNA di Libya.

(4)     Awal November, Jabatan Negara mengeluarkan kenyataan bersama GNA menyeru pasukan Haftar untuk menghentikan serangan selama sebulan mereka di Tripoli.

Dari segi kronologinya pada sebelum ini Amerika kelihatan bersama dengan HoR yang bersekutu dengan LNA yang dipimpin oleh Haftar.

Namun sejak 2016, Amerika dilihat beralih selera iaitu menyebelahi GNA. Hal ini lebih jelas di era Donald Trump, berbeza dengan pendekatan Obama.

Haftar dan Nayed

(1)     White House berkata dalam satu kenyataan Trump pernah mengakui peranan penting General Haftar dalam memerangi keganasan dan mendapatkan sumber minyak Libya.

Bahkan mereka berdua pernah membincangkan visi bersama untuk peralihan Libya ke sistem politik yang stabil dan demokratik. Namun, setelah itu hubungan kedua-duanya suram.

(2)     Namun perbualan telefon antara Trump dan Haftar pada April tahun ini seolah-olah menggambarkan Amerika sedang beralih kiblat sokongannya.

(3)     Dalam konflik ini, muncul Aref al Nayed yang  dikatakan sedang mengatur menjadikan dirinya sebagai Presiden. Ia dirancang selepas Haftar, ‘membebaskan’ Tripoli.

Beliau antara yang garang mengutuk GNA yang disokong PBB dan menggambarkan dirinya sebagai pilihan konsensus yang dilihat mampu menyatukan Libya.

(4)     Kesatuan Nayed ini dipanggil sebagai ‘National Unity Government’. Dalam ‘pengkisahan’ ini kita perlu lihat bagaimana Amerika seolah-olah sudah tersilap langkah.

Amerika bermula dengan mencetuskan konflik di Libya. Kemudian apabila melihat HoR mula tidak mengikut selera Amerika pada 2016, mereka mula berpihak kepada GNA.

Hari ini kita lihat Amerika sendiri cuba menjadi juara, apatah lagi apabila General Haftar mula menguasai Libya. Masih tergantung lagi apakah sebenarnya politik Haftar.

Teka-teki

Yang zahirnya, Haftar dilihat pernah ‘menetap’ di Amerika. Begitu juga masih lagi menjadi tanda tanya, siapakah sebenarnya Nayed?

(1)     Nayed dan Haftar kedua-duanya disokong oleh UAE. Pelbagai andaian dan teori dibuat. Antaranya penganalisis Heritage Foundation, Joshua Meservey.

Beliau menyatakan, “Saya fikir ada kemungkinan Haftar sedang berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai Ghaddafi yang akan datang,”

(2)     Ben Fishman, bekas Pengarah Libya di NSC di bawah Presiden Barack Obama menyatakan “Ia memberi isyarat bahawa pentadbiran sekarang lebih aktif berdasarkan yang anda lihat minggu lalu iaitu kenyataan daripada Jabatan Negara. Tetapi mereka sedang mencari strategi politik yang berbeza,”

Katanya lagi “Mereka memahami bahawa GNA mempunyai kuasa yang terhad dan mereka memahami batasan Haftar juga.”

(3)     Antara yang dinyatakan oleh Nayed, “Memang penting rundingan berlaku untuk peralihan yang lancar dan damai,”

Katanya lagi, “Adalah penting bahawa Kerajaan yang baru berada dalam keadaan bebas pasca pembebasan Tripoli. Ia adalah kerajaan perdamaian nasional dan perpaduan, dan bukan berbentuk pemerintahan dan penaklukan.”

(4)     Di dalam meneliti konflik ini, tanpa sedar Tripoli seolah-olah menuju ke arah pentadbiran sebuah wilayah tersendiri yang bebas. Seolah-olah mengiyakan NME Robin Wright 2013.

Realiti di Libya masih berselirat. Amerika mengambil sikap pragmatik. Manakala rakyat Libya tertindas. Sejak 2017 lagi Libya sudah dikenali sebagai ‘Failed State’.HARAKAHDAILY 3/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -