Kajian Barat: Pertembungan idealogi sesama orang Islam

- Advertisement -

KAJIAN Barat mengenai Islam

(1)     Artikel kali ini masih membincangkan Laporan RAND Corporation yang saya siarkan sebelum ini yang bertajuk Building Moderate Muslim Networks.

Laporan ini disediakan oleh 4 panel, iaitu Cheryl Bernard, Angel Rabasa, Lowel H. Scwartzh dan Peter Sickle. Masing-masing mempunyai latar belakang sebagai pemikir.

(2)     Masing-masing pernah membuat kajian lapangan dan menghasilkan kajian-kajian terhadap Umat Islam. Seolah-olah mereka memang dilatih untuk berada di posisi itu.

a-     Iaitu posisi mengkaji kekuatan musuh mereka, iaitu Islam. Rata-rata kajian mereka boleh dikatakan bermula era kemunculan Amerika sebagai paksi demokrasi pada 80an.

b-     Kemudian pada 90-an mereka mengkaji lagi tentang kemenangan parti-parti Islam seperti An Nadhah di Tunisia, Refah di Turki, dan PAS di Malaysia melalui sistem demokrasi.

(3)     Sudahlah mereka dikejutkan dengan Revolusi Iran pada 1979 yang mengejutkan Amerika di kala mereka sedang berhadapan dengan Soviet.

a-     1983 merupakan tarikh penting bagi Amerika dalam melakukan rancangan besar-besaran di peringkat Global. Ketika itu Amerika dipimpin oleh Ronald Reagen.

b-     Tarikh kedua yang merupakan tarikh penting bagi perancangan Amerika ialah 11 September 2001. Bush yang memerintah Amerika ketika itu menjalankan operasi memerangi keganasan.

c-     Tarikh yang ketiga yang boleh dikatakan sebagai tarikh penting bagi perancangan Amerika ialah 2011, iaitu Arab Spring. Walaupun yang ‘spring’ itu adalah Arab, namun tangan belakangnya adalah Amerika.

Muslim yang dilabel radikal

(1)     Angel Rabasa yang merupakan salah seorang panel tersebut, merupakan Penganalisis Dasar Kanan di RAND Corporation dan ketua penganalisis Pasca 11 September, iaitu Disember 2004.

a-     Beliau dikatakan berjaya merangka ‘projek masa depan’ tentang keganasan global khusus dalam dunia Islam bertajuk: “Beyond Al Qaeda: Countering Terrorist and Other Non-Traditional Threats.”

b-     Beliau juga menghasilkan satu laporan RAND Corporation yang bertajuk The Muslim World After 9/11 yang melaporkan persaingan Amerika dengan gerakan Islam.

(2)     Sepertimana yang saya nyatakan dalam artikel lalu, mereka mengklasifikan orang Islam itu kepada beberapa jenis. Angel Rabasa banyak menggunakan label Muslim Radikal.

Muslim Radikal ini dianggap sebagai mereka yang ‘main kasar’ terhadap Amerika. Lalu Amerika memikirkan bagaimana untuk ‘menguruskan’ golongan ini.

(3)     Di dalam Laporan The World Muslim After 9/11 yang diterbitkan pada 2004, menceritakan bagaimana cabaran mereka terhadap Muslim yang dilabel radikal.

Laporan ini menyatakan kesukaran Amerika untuk meramalkan kesan perubahan rejim, mungkin disebabkan oleh kegagalan untuk memahami pertumbuhan idealogi yang menentang Amerika.

(4)     Menurut beliau, penafsiran radikal dan dogmatik terhadap Islam telah menjadi asas dalam banyak pertubuhan Islam. Contohnya Muslim yang dilabel radikal menghukum murtad terhadap Muslim Liberal.

Ini menyebabkan survival Muslim Liberal akan terencat kerana isu-isu keselamatan akibat diperangi oleh Muslim yang dilabel radikal. Hal ini pernah terjadi di Indonesia.

Psywar

(1)     Amerika merasa terancam dengan kewujudan Muslim yang dikategorikan sebagai radikal ini. Justeru mereka merancang bagaimana ‘memanfaatkan’ golongan ini.

Sebab itulah Amerika membakar semangat Islamophobia, dan seterusnya memerangi golongan yang dilabel pengganas. Dari segi logiknya, Amerika menang psywar.

(2)     Manakala Cheryl Bernard pula mengkelaskan Fundamentalis sebagai golongan Muslim yang perlu disekat. Kaedah sekatan itu adalah mempertembungkan dengan Tradisionalis.

(3)     Muslim Liberal yang dibela oleh Amerika mengikut pelan perancangan mereka agak terganggu dengan beberapa tindakan radikal pemerintah negara.

Kadang-kadang, seperti yang berlaku di Mesir, Iran, dan Sudan, Muslim Liberal ada yang dipenjarakan, dibunuh, atau dihalau ke luar negara.

(4)     Justeru, mereka perlu wujudkan psywar. Iaitu melancarkan saraf propaganda istilah-istilah kejumudan, konservatif, lebai, radikal, teroris dan banyak lagi.

Psywar ini seolah-olah memaksa Umat Islam menolak golongan Muslim yang dilabel radikal. Dengan kata lain, mereka mewujudkan pertembungan idea sesama Umat Islam, dan mereka goyang kaki.

Maka, secara sendirinya Umat Islam akan menuju ke arah ‘keterbukaan’ yang dilaungkan oleh Amerika. Agar Amerika boleh masuk dalam persaingan pasaran idea ini.

Al-Qaeda dan ISIS

(1)     Apa yang saya ceritakan di atas, sepatutnya disedari oleh Umat Islam sejak 10 tahun lepas. Walaupun hari ini sudah dikatakan terlambat, namun ia lebih bagus daripada terus membuta.

Hari ini kita lihat bagaimana Amerika seolah-olah berjaya dalam psywar untuk mencorakkan keganasan yang berpanjangan. Apatah lagi Pasca Arab Spring 2011

(2)     Beberapa entiti yang berlakon sebagai Muslim Radikal dicipta, seperti al-Qaeda dan ISIS. Ini kerana mungkin mereka anggap Muslim yang dilabel radikal yang sedia ada, tidak cukup radikalnya.

Bahkan mereka kelihatan bimbang sekiranya Muslim yang dilabel radikal ini ‘menang pengaruh’ terhadap Umat Islam. Mereka bimbangkan pengaruh ini akan terus menjahanamkan Amerika.

Justeru, mereka perlu meng‘create’ watak-watak pengganas Islam, yang lebih radikal daripada Muslim Radikal yang dilabel oleh mereka, bagi meneruskan survival perang panjang.

(3)     Baru-baru ini, al-Baghdadi yang memimpin ISIS telah diisytiharkan mati oleh Donald Trump. Sama seperti Osama ben Laden sebelum ini. Adakah misi sudah selesai atau tukar pelan lain?

(4)     Kita lihat konflik di beberapa buah negara seperti Syria dan Iraq. Peranan ISIS sangat diperlukan bagi mencorakkan huru-hara. Kita boleh tengok bagaimana peranan mereka dalam isu Kurdistan [Gambar]

Kesimpulan mudahnya, nak melawan kumpulan Opposition, Daesh dipergunakan. Kemudiannya YPG yang merupakan tajaan Amerika boleh masuk menguasai semula.

Persaingan Idealogi

(1)     Banyak tragedi-tragedi lalu yang sepatutnya diambil pengajaran oleh Umat Islam. Perancangan mereka berjalan, sekalipun mereka sendiri berhadapan dengan ancaman.

Hari ini langit telah dibuka oleh Barat. Pelan ini dilihat hampir berjaya untuk menghapuskan cara kasar orang-orang Islam terhadap Amerika sepertimana yang saya nyatakan tadi.

(2)     Umat Islam atau Gerakannya yang masih menggunakan cara lama, akan dipandang serong, kejumudan, tertutup, ketinggalan dan dilabel radikal.

Sebab itulah zaman sekarang bukan lagi zaman menyuruh dan memaksa. Akan tetapi zaman sekarang ialah zaman persaingan idea. Gerakan Islam perlu bersaing untuk memasarkan idealogi Islam.

Bukan lagi dengan menyuruh, kerana segalanya itu telah dimanipulasi oleh Barat. Umat Islam perlu berdiri di atas hujah, bukan sentimen. Perlu berdiri dengan fakta, bukan andaian.

(3)     Walau bagaimanapun, Barat sentiasa memikirkan untuk mengawal keterbukaan ini, dengan memastikan sesama Umat Islam kekal dalam keadaan pertembungan idea.

Lalu, mereka perlu juga untuk memperkasakan Tradisionalis. Ini kerana mengikut kajian Cheryl Bernard, Tradisionalis adalah vaksin yang paling sesuai untuk berhadapan dengan Fundamentalis.

Laporan RAND Corporation bertajuk Building Moderate Muslim Networks melihat potensi ini kerana Tradisionalis dan Sufis boleh dikatakan part yang paling besar dalam umat Islam.

Tradisionalis dan Sufis

(1)     RAND Corporation menukilkan kenyataan Gus Dur bahawa Umat Islam yang konservatif (tradisionalis) memperjuangkan keyakinan dan tradisi yang diperturunkan.

Iaitu melalui tradisi dan kerohanian sejak  berabad-abad selama 1400 tahun yang mana berpontensi menggugat idealogi fundamentalis. Tradisi ini menggabungkan penghormatan tokoh.

a-     Contoh penghormatan seperti pembinaan maqam dan mewarisi susunan-susunan amalan, yang secara tak langsungnya bertembung dengan kelompok Wahhabi.

b-     Mereka menafsirkan kitab-kitab agama Islam berdasarkan ajaran-ajaran Islam cara sekolah-sekolah mazhab yang ditubuhkan pada abad-abad awal Islam.

c-     Mereka tidak terlibat dalam penafsiran al-Quran dan Hadis yang tidak dibenarkan mengikut ‘tradisi Nabi Muhammad’ seperti yang dilakukan oleh golongan Salafis dan Modernis.

d-     Ramai ahli tradisional menggabungkan unsur-unsur Sufism iaitu tradisi mistisisme Islam yang menekankan emosi dan pengalaman peribadi Ilahi, ke dalam amalan Islam mereka.

Contohnya mimpi, karamah dan sebagainya, dijadikan sebagai sumber syariat. Di sinilah yang menjadi pertembungan dengan Salafis dan Wahhabis berdasarkan laporan RAND Corporation.

(2)     RAND Co. menyatakan bahawa setiap kali Gerakan Radikal Islam telah mendapat kuasa, mereka berusaha untuk menindas amalan Tradisionalis dan Sufis sepertimana zaman permulaan Arab Saudi.

Peluang Muslim Moderate

(1)     Pertembungan idealogi antara Salafis atau Wahhabis dan Tradisionalis atau Sufis ini menjadi peluang yang besar bagi Amerika untuk mengekang kebangkitan Islam.

Justeru, mereka perlu memperkasakan pertembungan ini bagi memudahkan laluan membina jaringan Muslim Moderate. Golongan Radikal pula akan terus disemarakkan.

Tujuannya ialah menimbulkan ketegangan antara kedua-dua team tersebut. Antaranya adalah mewujudkan golongan radikal dalam team Wahhabis, dan juga dalam Tradisionalis.

(2)     Di negara-negara seperti Bosnia, Syria, Iran, Kazakhstan, dan Indonesia, Islam yang lazim diamalkan di seluruh masyarakat tempatan adalah Sufism sama ada original, atau dipengaruhi.

Manakala di negara lain, seperti di Albania, Maghribi, Turki, India, dan Malaysia, Sufisme wujud dalam bentuk yang berdisiplin dan agak tersusun.

(3)     RAND Co. menyatakan dalam beberapa kes, Sufis pernah menunjukkan kecenderungan yang radikal dan menyokong kumpulan-kumpulan militan, oleh kumpulan Sufi yang masyhur.

Contohnya kita boleh lihat bagaimana gerakan-gerakan Islam menentang penjajah satu ketika dahulu dipelopori oleh geng Tarekat, Ahli Sufi dan sebagainya.

(4)     Ada juga pergerakan Sufi yang bersifat moderat, contohnya, Jam’iyyat al-Mashari ‘al-Khayriyya al-Islamiyya Ahbash di Lubnan yang menekankan kesederhanaan dan toleransi serta menentang aktivisme politik dan keganasan.

Sufis Moderate

(1)     Contoh lain bagi Sufis Moderate ialah Fethullah Gulen yang mempromosikan satu bentuk yang moden. Gulen menentang penguatkuasaan Undang-undang Negara Islam.

a-     Antara yang dikatakan olehnya bahawa kebanyakan peraturan Islam hanyalah dalam konteks ‘peribadi’ dan hanya sikit sahaja ‘part’ yang berkaitan mengenai urusan pentadbiran Negara.

b-     Beliau berkeyakinan Undang-undang Islam tidak wajar kerana agama adalah perkara peribadi, keperluan mana-mana agama tertentu tidak boleh dikenakan ke atas seluruh penduduk.

(2)     RAND Co. menyatakan bahawa Gulen melontarkan ideanya tentang toleransi dan dialognya dengan orang Kristian dan Yahudi.

a-     Beliau pernah bertemu dengan Patriarch Bartholomeos, ketua Patriarkat Ekumenis Ortodoks Yunani di Istanbul dua kali.

b-     Beliau juga pernah mengunjungi Paus di Roma, pimpinan Kristian pada tahun 1998, dan menerima seorang Rabbi ketua pelawat dari Israel.

(3)     Gulen menegaskan keserasian Islam dan demokrasi serta menerima argumen bahawa idea Republikanisme sangat sesuai dengan konsep awal Syura Islam.

a-     Gulen menentang sebarang rejim Otoritarian yang akan mengenakan kawalan ketat terhadap idea. Beliau juga sangat kritikal terhadap Iran dan Arab Saudi.

b-     Beliau juga berpendapat bahawa tafsiran dan pengalaman Turki berbeza dari apa yang dinyatakan, terutamanya oleh orang Arab.

c-     Beliau juga menulis tentang “Anatolian Islam” yang didasari dengan toleransi dan menolak fanatism. – HARAKAHDAILY 28/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -