Peserta Ijtimak Tarbawi kemalangan langgar lembu

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Perodua Alza milik salah seorang peserta Ijtima Tarbawi 7.0 rosak teruk akibat terlibat dalam kemalangan melanggar lembu di kilometer 11, Jalan Pasir Puteh – Machang, Kelantan semalam.

    - Advertisement -

    Muhammad Najib Ismail, 32 bagaimanapun mengucapkan syukur kerana walaupun keretanya rosak teruk, namun dua sahabatnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas sehinggakan tidak sempat dirakam oleh kamera kenderaan tersebut.

    ‘’Sejurus keluar dari terang lampu jalan dengan kelajuan lebih kurang 90 km/j menuju ke kegelapan jalan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan sekumpulan lembu hampir 12 ekor berada di atas jalan.

    ‘’Ketika itu, brek pun pasti tidak sempat. Lantas saya mencari darurat yang paling kurang dan terpaksa melanggar seekor lembu dari kawanan tersebut.

    ‘’Selepas itu kenderaan yang dipandu hilang kawalan dan berpusing sekali sebelum berhenti di bahu jalan,’’ ceritanya berdepan di saat cemas ketika dihubungi melalui aplikasi ‘WhatsApps’, pagi tadi.

    Akibat daripada itu, kenderaannya rosak teruk di bahagian bonet hadapan, lampu hadapan, pintu kiri dan kanan di mana kenderaan terpaksa ditunda menggunakan ‘towing’.

    Najib yang mengetuai konvoi sembilan kenderaan itu, membawa Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu Mohd Harun Esa dan Muhamad Hamdi Harun.

    Beliau amat menyesali perbuatan segelintir masyarakat yang berkepentingan diri dengan membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran tanpa penjagaan yang boleh meragut nyawa orang ramai.

    Katanya, lembu yang dilanggar itu sempat disembelih oleh penyembelih bertauliah, namun, tuan lembu dikhabarkan masih berkeliaran bebas tanpa ada rasa bersalah.

    ‘’Tuan lembu tolong jaga haiwan anda supaya tidak membahayakan keselamatan orang ramai. Jangan jadi tidak bijak lebih pada lembu peliharaan anda.

    ‘’Jangan berkata ‘kalau’ andai kata berlaku musibah kepada kita. Kerana perkataan itu akan membuka pintu syaitan untuk menghasut kita,’’ nasihatnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2019

    - Advertisement -