Alya Hana murid SRITI Muallim maut kemalangan

    TANJUNG MALIM: Seorang murid SRITI Muallim disahkan meninggal dunia setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke SRITI bersama ayahnya dengan menaiki motorsikal, pagi tadi.

    Advertisement

    Alya Hana Abdul Hadi, 8 yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan pendarahan di bahagian otak telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 pagi di Hospital Slim River.

    Arwah merupakan murid kelas tahun 2 Muslim dan dikenali dengan sikapnya pendiam, tetapi rajin di mana menurut guru kelasnya, Ustazah Farhah Nadhirah Mahmarulim, Alya Hana merupakan seorang murid yang baik dan sentiasa mematuhi arahan guru.

    Menurutnya lagi, Alya Hana memiliki akhlak yang tinggi, selain sikapnya yang suka berkongsi sesuatu bersama rakan-rakannya membuatkan beliau amat disenangi.

    Majlis pengkebumian telah dihadiri Pengarah SRITI Negeri Perak, Ustaz Muhammad Zulfadli Zainal dan Pengerusi PASTI Tanjung Malim, Ustaz Ammar Ariffin, manakala Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Perak, Dr Khaled Mat menziarahi keluarga mangsa.

    Jenazah disolatkan di Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Behrang 2020 selepas solat Zohor hari ini. – HARAKAHDAILY 24/10/2019