NFCC: Jangan sasar penentang politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman meminta supaya Rang Undang-Undang Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC ) yang akan digubal tidak disalahgunakan untuk mensasarkan penentang politik semata-mata.

- Advertisement -

Menurutnya, hal ini kerana telah didedahkan bahawa salah seorang bekas ahli parlimen tersenarai sebagai penerima wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun nama beliau dilenyapkan selepas melompat parti.

“Ini jelas menunjukkan ketidaktelusan dan amalan terpilih masih jelas dalam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) walaupun pengerusi barunya bertegas SPRM kini mempunyai integriti.

“Kita bimbang rakyat akan melihat perkara ini sebagai jalan untuk menyelamatkan diri para pemimpin yang terlibat dengan rasuah hanya perlu bertukar kem dan dia selamat,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, katanya RUU itu digubal bertujuan untuk memberi punca kuasa kepada pusat itu yang dibuat di bawah Pelan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) 2019-2023 bagi menjalankan operasi bersepadu menangani jenayah kewangan dan mengekang ketirisan di dalam sistem ekonomi negara.

Jelasnya, setiap tahun negara ini mencatatkan kehilangan hasil sebanyak RM8 bilion akibat penyeludupan rokok dan alkohol.

“Isunya di sini bukanlah sekadar isu penyeludupan bahkan ianya membabitkan isu berkaitan sogokan, penggunaan kumpulan mafia, pengelakan cukai dan proses-proses transaksi bank yang mencurigakan.

“Menurut laporan Global Financial Integrity (GFI), Malaysia kerugian kira-kira US$431 bilion (RM1.8 trilion) dalam pengaliran keluar secara haram wang antara tahun 2005-2014,” katanya.

Berikutan daripada itu, beliau mengharapkan kerajaan perlu memastikan skop tugas tidak bertindih dengan agensi penguatkuasa yang sedia ada, dan memberi kuasa kepada jawatankuasa pengawasan untuk memberi arahan mengenai sesuatu siasatan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa. – HARAKAHDAILY 10/10/2019

- Advertisement -