Bacaan doa Kristian di sekolah salahi Perlembagaan

- Advertisement -

TINDAKAN SK (P) Methodist tidak membenarkan bacaan doa orang Islam dan membiarkan bacaan doa secara agama Kristian secara terbuka dalam satu majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah sangat bertentangan dengan Perlembagaan Negara Artikel 11(4) yang melarang pengembangan agama lain kepada orang Islam. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato’ Khee Phaik Cheen Pengerusi Jemaah Tadbir.

- Advertisement -

Walaupun sekolah tersebut di bawah pengurusan gereja, namun sekolah ini telah mendapat bantuan penuh kerajaan. Dimaklumkan juga, bahawa sekolah ini mempunyai majoriti pelajar Islam berbanding pelajar bukan Islam termasuk gurunya.

Sekolah ini memiliki enrolmen iaitu seramai 508 bilangan murid keseluruhan dengan 24 guru beragama Islam, sedang guru bukan Islam hanya 14 orang. Begitu juga terdapat 347 murid Islam, berbanding 161 murid bukan Islam.

Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang memandang serius perkara ini, dan menggesa agar Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengambil tindakan segera kepada pihak pentadbiran sekolah agar perkara sebegini tidak lagi berulang.

Kami juga menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menyebar agama Kristian secara terbuka kepada orang Islam yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Sebelum ini, kejadian edaran Bible dan risalah Kristian di Bukit Mertajam dan Penaga belum ada sebarang tindakan. Kita bimbang perkara ini menjadi lebih serius dan akhirnya menggugat akidah umat Islam.

Demi Islam”

USTAZ ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM
Ketua Sektor Pendidikan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 29/9/2019

- Advertisement -