Agama aman VS negara rasis

- Advertisement -

KEAMANAN merupakan anugerah yang amat berharga kurniaan Allah kepada hamba dalam sesebuah negara. Kemajuan suatu tamadun sering dikaitkan dengan keamanan di samping kemajuan dan kekayaannya. Ringkasnya negara yang aman adalah negara yang maju dan berjaya.

- Advertisement -

Sebagai sebuah negara yang aman sudah pastinya element tidak sihat seperti rasis, perkauman, extremist dan sebagainya  adalah yang paling kurang berlaku jika dibandingkan dengan negara yang tidak aman.

Nilai keamanan yang dinikmati dalam sesebuah negara adalah hasil daripada sikap dan amalan kehidupan rakyatnya yang didorong oleh faktor lain seperti amalan keagamaan dan kebudayaan dalam masyarakat.

Secara praktikalnya seorang yang mengamalkan ajaran agama yang betul akan  menyumbang di dalam keharmonian dan keamanan kepada negara.

Agama keamanan

Terdapat pengiktirafan dari sebuah badan seperti UNESCO terhadap agama yang paling aman di dunia.  UNESCO adalah sebuah badan dinaungi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mana telah mengiktiraf Islam adalah agama yang paling aman di dunia.

Walaupun kemudiannya pengiktirafan itu terdapat pihak yang mempertikaikannya namun ianya tidaklah memberi kesan kerana pada masa yang sama banyak lagi pengiktirafan kepada agama Islam sebagai agama keamanan. Contohnya pengakuan dari pemimpin besar dunia seperti mantan Perdana Menteri  U.K (United Kingdom) Tony Blair, mantan Presiden U.S.A Barrack Obama dan ramai lagi yang mengakui bahawa Islam adalah agama keamanan.

Fakta ini disahkan lagi dengan statistik memberangsangkan perkembangan agama Islam di negara maju seperti di Benua Eropah dan Amerika Syarikat.

Data terkini mengesahkan Islam adalah agama yang paling cepat sekali berkembang di Eropah. Menurut Pew Research Centre kadar perkembangan agama Islam adalah melebihi 4 peratus dan mampu mencapai sehingga 7.9 peratus menjelang tahun 2050. Senario ini merupakan kadar perkembangan yang tinggi dan amat mengejutkan dunia.

Bagi negara seperti Amerika Syarikat pula Islam adalah agama ketiga terbesar dianuti selepas Kristian dan Judaism. Satu kajian pada 2017 menunjukkan jumlah umat Islam di Amerika Syarikat seramai 3.4 juta orang dengan 25 peratus adalah melalui menukar agama kepada Islam.

Negara rasis

Rasis berdasarkan rujukan Kamus Dewan Edisi ke 4 ialah orang yang mengamalkan kepercayaan atau junjungan bahawa hanya bangsanya sahaja yang dianggap unggul atau bangsa terhebat atau utama selain bangsa lain di dunia. Mereka ini mengamalkan kepercayaan prejudis bahawa satu bangsa adalah lebih tinggi darjatnya dari bangsa yang lain.

Jika dirujuk sebagai kata sifat pula, rasis bermaksud perbuatan diskriminasi ke atas sesuatu bangsa atau agama. Rasis yang keterlaluan akan menyebabkan ketegangan berlaku. Contoh rasis yang dapat dilihat apabila sesuatu bangsa lain menghina dan menjatuhkan martabat sesuatu bangsa lain. Selain itu, bangsa berkaitan hanya bergaul dengan bangsanya sahaja.

Rasis adalah seteru kepada keamanan sejagat yang boleh membawa dunia dan manusia ke lembah kehancuran sekiranya kita membiarkan api perkauman membakar diri. Oleh kerana bahayanya rasis ini maka beberapa agensi bebas telah melakukan kajian terhadap negara-negara di dunia bagi melihat faktor kecenderungan dan kesan kepada kehidupan manusia. 

Hasil dari kajian yang dilakukan oleh agensi seperti Insider Monkey mendapati negara yang paling rasis di dunia adalah India dan  kajiannya turut dikongsi oleh agensi bertaraf dunia yang lain seperti Washington Post.

Agensi yang melakukan kajian ini adalah badan bebas yang menjadi rujukan pelabur dunia untuk mengetahui keadaan saham atau ekonomi sesebuah negara.

Negara yang rasis seperti itu pastinya isu perkauman akan berlaku dan kerap terjadi. Salah satu isu rasis di India adalah kes yang melibatkan Kerajaan India dan Dr Zakir Naik. Isu tersebut adalah tempias penyakit rasis dari India yang cuba diheret ke Malaysia.

Bersetuju dengan tuntutan Kerajaan India, bermakna kita bersetuju dengan negara yang paling rasis itu dan sanggup menjadi penyambung lidah rasis mereka.

Anugerah keamanan

Sebagai seorang Islam, kita perlu yakin bahawa keamanan dan kemakmuran adalah datang daripada Allah sebagaimana Allah berfirman di dalam Surah Al-Hasyr ayat 23:

“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Raja yang Maha Suci, yang Maha Sejahtera, yang mengurniakan keamanan”.

Keyakinan ini akan menjadikan umat Islam adalah juara dalam memperjuangkan keamanan dan keharmonian. Menolak tuduhan bahawa ajaran Islam adalah pembawa perpecahan.

Teori keamanan Islam

Di dalam kehidupan bernegara banyak pengkaji menggunakan teori keamanan daripada Cendikiawan Islam seperti Ibnu Khaldun yang mana bukunya menjadi rujukan negara Barat.

Ibnu Khaldun di dalam karangannya, Al-Muqadimah telah mengemukakan beberapa teori perpaduan khususnya masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau telah menggariskan kepada tiga bahagian iaitu An-Nubuwwah, Al-Mulk dan Ma´unah. Ketiga-tiga ini adalah antara teori yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun.

1)An-Nubuwwah

An-Nubuwwah ialah seruan kepada kebenaran. Seruan ini mestilah bersandarkan kepada agama sebagai sumber kebenaran ( Da´wat Al-Haq).

Persoalannya sekiranya terdapat pelbagai agama di dalam sesebuah negara, lalu agama mana yang perlu dijadikan sandaran kepada sumber kebenaran kerana bila mana terdapatnya perbezaan ini sudah pasti akan mewujudkan pertembungan dalam menentukan siapakah yang paling benar. Perkara ini pasti akan berlaku sama ada sekarang atau pun pada masa akan datang. Walaupun sesuatu isu telah berjaya ditenteramkan pada masa ini namun besar kemungkinan pada masa hadapan ianya pasti akan berlaku.

Oleh sebab itu, kita perlu merujuk kepada Perlembagaan Negara perkara 3 (1) dengan secara jelas  telah meletakkan agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Semua pihak mestilah menjunjung perlembagaan dengan menjadikan Islam adalah sebagai sumber utama kepada seruan kebenaran, dan agama lain bebas mengamalkan anutan untuk mereka sahaja dengan tidak boleh mencabar kesucian dan kebenaran agama Islam.

Maka teori kesamarataan agama dalam menentukkan agama mana yang paling benar  adalah sukar untuk dilaksanakan bahkan tidak selari dengan peruntukan perlembagaan. Kerana agama Islam-lah yang sepatutnya menjadi kayu ukur dan pemutus sebagai sumber kebenaran utama sekiranya timbul pertembungan antara agama Islam dan agama-agama yang lain di negara kita.  

Kesamarataan agama yang dimaksudkan oleh perlembagaan dan dibenarkan oleh Islam adalah hak setiap rakyat dalam mengamalkan agama mereka masing-masing bukan hak kesamarataan dalam menentukan agama mereka adalah yang paling benar.

Berdasarkan kefahaman itulah maka Rukun Negara telah dibentuk dengan meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan sebagai asas yang pertama kemudian dilengkapkan dengan asas yang kedua iaitu kesetian kepada Raja dan Negara seterusnya disusuli dengan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang diakhiri dengan kesopanan dan Kesusilaan. 

2)Al-Mulk

Al-Mulk adalah kuasa autoriti kekuasaan negara. Ibnu Khaldun seterusnya menerangkan lagi bahawa perlunya ada kuasa penentu dalam menjaga keharmonian negara. Kuasa dalam membanteras segala unsur-unsur yang mencetuskan bibit pertelingkahan dan suasana tegang antara kaum.

Tindakan mencegah dan membanteras perlulah ditafsir dan diterjemahkan dari lunas-lunas Perlembagaan Negara. Malaysia sebagai Negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan merujuk Perlembagaan Perkara 4 (1) perlembagaan negara adalah kuasa tertinggi  serta Perkara 3 (1)  Iaitu Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan.

Sebarang tindakan kerajaan yang membelakangkan undang-undang dalam menuntut keadilan akan menyebabkan negara berada dalam kancah perpecahan dan rusuhan.

3)Ma’unah

Ma´unah adalah pertolongan daripada Allah. Sebagai umat Islam kita perlu yakin bahawa keamanan dan keharmonian merupakan anugerah Allah. Sudah tentulah kita seharusnya melaksanakan amanah Allah sebagai hamba-Nya dalam menjaga keamanan dan menolak permusuhan.

Melaksanakan amanah Allah dengan berhukum dengan adil seperti firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 58:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”

Imam Ibnu Khathir dan Dr Hamka telah menghuraikan makna berhukum dengan adil adalah menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar.

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam kitabnya, Fathul Bari menjelaskan hadis berkenaan tujuh golongan yang mendapat naungan Arasy Allah di Hari Kiamat yang pertama adalah pemimpin yang adil.

Kerajaan dan pemimpin yang adil mengikut ajaran Islam sudah tentunya mampu melahirkan negara yang aman dan sejahtera.

AWIS KHARNI HUSAIN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Lumut – HARAKAHDAILY 28/9/2019

- Advertisement -